Friday, February 18, 2011

30 point Terakhir: Nik Ajis Senak Perut!!


21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwana..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."

32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

37. Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?

45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.

No comments: