Tuesday, June 7, 2011

AWAT NIE MUSA,HANG KALUT SANGAT..PROJEK TAK LEPAS NA??


KENYATAAN AKHBAR DATUK NUR JAZLAN TAN SRI MOHAMED, PENGERUSI UDA HOLDINGS BHD BERHUBUNG PROJEK PEMBANGUNAN TAPAK BEKAS PENJARA
PUDU (BUKIT BINTANG CITY CENTRE)

SAYA ingin mengulas mengenai kenyataan Datuk Musa Sheikh Fadzir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di Buletin Utama dan Utusan Malaysia Sabtu lalu, berhubung projek pembangunan tapak bekas Penjara Pudu atau Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Ingin saya tegaskan bahawa projek ini, yang dibangunkan atas tanah seluas 7.76 hektar di Kuala Lumpur tidak akan langsung meminggirkan kepentingan masyarakat Bumiputera.

Atas sebab itu, saya berasa amat sedih atas tuduhan melulu Datuk Musa terhadap Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd tanpa mahu menghubungi UDA Holdings BHd terlebih dahulu untuk mendapatkan butir-butir mengenai pembangunan projek BBCC ini.

Saya ingin memaklumkan bahawa UDA Holdings Bhd menjemput 14 syarikat asing dan tempatan yang pernah menyatakan minat menyertai projek pembangunan BBCC ini, membentangkan kertas cadangan terhadap projek ini.

Daripada 14 syarikat, 11 syarikat hadir membentangkan kertas kerja kepada Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Bhd pada 7 dan 8 Mac lalu dengan semuanya bukan milik Bumiputera sepenuhnya kecuali satu.

Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings BHd kemudian membuat penilaian secara telus dalam memastikan syarikat yang dipilih benar-benar dapat memberikan pulangan terbaik kepada syarikat tetapi juga kepada kepentingan masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Jadi, tuduhan Datuk Musa menyatakan bahawa UDA Holdings Bhd membelakangkan syarikat Bumiputera adalah tidak benar sama sekali kerana semua syarikat Bumiputera yang berminat membangunkan projek ini, menjalinkan kerjasama dengan syarikat bukan Bumiputera dan mereka tidak mempunyai pegangan majoriti dalam kerjasama strategik berkenaan.


Sebenarnya, dalam projek pembangunan BBCC ini, UDA Holdings Bhd yang memegang kepentingan Bumiputera dengan memastikan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan bersama-sama dengan UDA Holdings Bhd menyertai projek pembangunan BBCC ini.

Semua perlu sedar bahawa kedudukan UDA Holdings Bhd pada waktu ini, bukanlah sama seperti 40 tahun lalu, di mana ketika itu, UDA adalah sebuah syarikat pemaju hartanah yang terkemuka.

Ketika ini, UDA Holdings Bhd mengalami masalah kewangan serta bank tanah yang amat kritikal kerana selepas UDA Holdings Bhd disenaraikan dalam Bursa Saham, syarikat ini, langsung tidak menerima suntikan kewangan atau bank tanah daripada kerajaan secara langsung.

Akibat keadaan ini, UDA Holdings Bhd tidak mampu lagi untuk memperjuangkan agenda Bumiputera seperti digariskan sebelum ini, dalam penubuhannya. UDA Holdings Bhd tidak sama seperti 40 tahun lalu, syarikat ini, tidak mampu lagi bersaing dengan syarikat hartanah swasta yang ada pada waktu ini, menyebabkan fungsinya kurang lagi dihormati seperti dulu.

Bagaimanapun, kepentingan 1,400 kakitangan UDA Holdings Bhd perlu diutama serta dipelihara dan sebab itu, UDA Holdings Bhd perlu teliti dan telus dalam melaksanakan pembangunan bekas Penjara Pudu.

Ini bagi mengelakkan projek ini terbengkalai seperti yang UDA Holdings Bhd alami pada projek Bandar Wawasan di Kampung Baru apabila tanah berkenaan diswastkan kepada sebuah syarikat kewangan dan akhirnya, ia terus terbengkalai sehingga kini. UDA Holdings BHd juga mahu mengelakkan perkara sama berulang seperti pada projek Plaza Rakyat apabila syarikat lain diberikan hak ke atas tanah, menyebabkan ia terbengkalai dan pemilik tanah tidak mempunyai hak lagi ke atas tanah berkenaan.

Perkara inilah, yang amat ditakuti UDA Holdings Bhd dan sebab itu, kita mengenakan syarat ketat supaya tanah berkenaan tidak boleh dicagarkan. Tetapi amat malang, tiada syarikat tempatan yang berkeupayaan dan mampu untuk tidak mencagarkan tanah berkenaan sebaliknya, semua mahu mencagarkannya bagi mencari sumber pembiayaan.

Terma Rujukan yang dikenakan UDA Holdings Bhd kepada semua syarikat yang berminat menyertai projek pembangunan BBCC ini, adalah bagi mengurangkan risiko kewangan kepada UDA sekaligus memberi jaminan bahawa UDA Holdings Bhd menjadi pemaju utama dalam pembangunan itu, dan mempunyai kata putus terhadap segala bentuk pembangunan di tapak berkenaan.


Selain itu, apabila projek BBCC ini siap, UDA Holdings Bhd akan memastikan bahawa semua ruang niaga yang dimiliki UDA dalam lokasi strategik di BBCC ini, akan memberi peluang kepada peniaga Bumiputera berniaga di sebuah kompleks beli belah bertaraf antarabangsa.

Pada masa sama, kontraktor Bumiputera yang berpeluang menyertai projek ini, akan dapat mempelajari konsep pembangunan baru yang digunakan dalam pelaksanaan projek BBCC.

UDA Holdings Bhd hanya akan memilih syarikat yang berupaya memberi pulangan terbaik bukan sahaja kepada UDA Holdings Bhd tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera khususnya, peniaga kecil di Kuala Lumpur secara keseluruhannya. Sehubungan itu, saya kesal dengan dakwaan dan tuduhan Datuk Musa yang seolaholah mendahului saya selaku Pengerusi UDA seperti sudah mengetahui segala butir perjanjian sedangkan, UDA Holdings Bhd belum memuktamadkan sebarang perjanjian dengan mana-mana syarikat.

Projek BBCC ini, sebenarnya perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, disebabkan ia termasuk dalam projek GTP/EPP kerajaan sekaligus dapat memberikan pulangan kepada negara dan rakyat.


Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed
Pengerusi
UDA Holdings Bhd
22 Mei 2011.

SUMBER PAPA GO'MO

No comments: