Sunday, October 2, 2011

Masalah Jantung, Latiff Ibrahim Perlu RM120,000


PETALING JAYA: Penyanyi terkenal tahun 80-an iaitu Latiff Ibrahim, 60, sedang mengumpul wang berjumlah RM120,000 untuk menjalani rawatan memulihkan jantungnya yang lemah.

Menurut Latiff, walaupun telah lama menjalani pembedahan dia masih perlu hidup dengan bergantung kepada ubat-ubatan.

“Alhamdulillah kerana saya dikurniakan kesihatan yang baik dan doktor tidak menghalang saya daripada aktif dalam karier seni.

“Sejak akhir-akhir ini, saya semakin banyak mendapat jemputan membuat persembahan lebih-lebih lagi saya perlu berusaha untuk mengumpul dana mengubati penyakit jantung ini,” katanya ketika majlis sidang media program hiburan Inilah… di Hotel Hilton di sini, Rabu lalu.

Pada bulan lalu, Latiff baru dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana tekanan darah rendah selain mengidap paru-paru berair.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana undangan nyanyian yang diterimanya tidak pernah putus sejak Hari Raya Aidilfitri lalu selepas keluar dari IJN.

Dalam perkembangan lain, Latiff turut merangka untuk tampil dengan album baru hasil kolaborasi dengan Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Captain Gulzar Mohamad.

“Saya akan membuat kemunculan semula selepas 20 tahun tidak menghasilkan album penuh. Semuanya bermula selepas Captain Gulzar meminta saya membuat album baru kerana saya dan dia berkenalan kira-kira enam tahun lalu.

“Album ini akan menampilkan 10 lagu yang memuatkan lagu baru dan lagu lama saya seperti Sabar Menanti dan lagu-lagu nyanyian Broery Marantika. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan dan belum boleh diperkatakan lebih lanjut,” ujarnya lagi.

Sumber-Mstar Online


No comments: