Monday, October 10, 2011

Unit khas pantau harga barang


BERA 9 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mula menggerakkan unit khas bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan pemberian pelbagai imbuhan kepada rakyat dalam Bajet 2012.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, unit tersebut yang terdiri daripada pengawai penguat kuasa, majlis pengguna dan pemantau harga mula digerakkan di seluruh negara sejak kelmarin.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kepentingan rakyat supaya mereka tidak menjadi mangsa kerakusan peniaga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Koperasi Orang Asli Peringkat Negeri Pahang di Rancangan Penempatan Semula Perkampungan Orang Asli di Pos Iskandar di sini hari ini.

Ketika pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelbagai imbuhan termasuk tambahan setengah bulan bonus kepada kakitangan awam serta bayaran RM500 untuk pesara.

Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan imbuhan yang tidak pernah diberi sebelum ini iaitu sumbangan RM500 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, pendidikan sekolah rendah dan menengah percuma serta bantuan RM100 untuk murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, pihak kementerian telah menghantar notis tunjuk sebab kepada beberapa peniaga di negeri ini kerana menjual ayam sehingga mencecah RM10 sekilogram.

Menurutnya, notis itu diberikan apabila pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna yang mengeluh dengan peningkatan harga ayam di pasaran.

Katanya, hasil siasatan di peringkat ladang, para penternak memberikan alasan harga makanan ayam yang diimport telah naik sejak seminggu lalu.

“Atas faktor tersebut, pemborong dan peniaga menaikkan harga ayam kerana berlaku peningkatan harga di peringkat ladang.

“Jika kita sendiri mendapati memang berlaku peningkatan harga makanan ayam yang diimport, kementerian tidak boleh mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan mengikut Akta Pencatutan,” kata beliau.
Sumber-Utusan

No comments: