Wednesday, March 13, 2013

AWAS PERMAINAN HARAKAH



Walaupun pernah dikecam hebat oleh perwakilan Pemuda Pas di dalam Muktamar Tahunan yang diadakan tidak lama dahulu, Harakah Daily yang merupakan portal berita dan lidah rasmi parti itu nyata tidak serik dan bermuhasabah. Perwakilan Pemuda Pas sebelum ini mengecam hebat peranan yang dimainkan oleh Harakah Daily kerana dilihat sebagai gedung fitnah serta menjadi alat dalam melaga-lagakan pimpinan Pas.

Ekoran daripada itu, Muktamar Dewan Pemuda Pas yang bersidang telah meluluskan dengan sebulat suara usul mendesak agar pimpinan pusat menstrukturkan semula sidang editorial parti itu. Malah mereka juga turut mendesak agar sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menapis dan mengawal kandungan serta pemberitaan Harakah.

Namun setelah hampir sekian lama, usul yang diluluskan itu hanya dipandang sepi oleh kepimpinan Pas pusat yang merasakan ia bukan satu isu yang mendesak. Malah lebih mengecewakan kepimpinan pemuda Pas bila mana, Hadi Awang selaku Presiden parti telah mengeluarkan kenyataan menyokong penuh dan berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Harakah selama ini.

Mengikut sumber, ekoran pendirian yang dikeluarkan oleh Hadi itu, ramai ahli dan penyokong Pas khususnya ‘orang muda’ telah mula memboikot portal tersebut sebagai satu pendekatan bagi menyuarakan bantahan. Mereka merasakan kredibiliti dan kandungan berita yang dilaporkan lebih menjurus untuk kepentingan sesetengah pihak demi survival politik sempit.

Peralihan minat pembaca setia lidah rasmi Pas ke portal-portal yang dilihat lebih ‘neutral’ telah menyebabkan ‘hits’ harakah merudum jatuh, dan perkembangan itu telah menyebabkan sidang editorial gusar dan tidak senang duduk.

Pelbagai cara telah dilakukan bagi mengembalikan semula kredibiliti dan minat pembaca agar terus menjadikan Harakah sebagai medium rujukan utama. Oleh yang demikian saban hari, mereka mengunapakai strategi untuk ‘membunuh’ portal-portal pembangkang lain yang dilihat tidak sehaluan dan cuba melawan arus.

Terbaru, mereka berusaha untuk cuba menyakinkan pembaca kononnya, pengendali portal suarapakatanrakyat.com adalah milik Bn/Umno. Ia secara tidak langsung akan menimbulkan keraguaan di kalangan pembaca dan kembali menjadikan harakahdaily sebagai sumber rujukan.

Pendekatan menyerang mana-mana portal pembangkang yang ‘tidak sehaluan’ itu juga secara tidak langsung bertujuan untuk memastikan peranan Harakah terus relevan dalam berdepan dengan media arus perdana dan portal-portal pro-kerajaan.

Sedangkan semua sedia maklum, mengenai pengakuan yang telah dibuat oleh mantan Ketua Pengarang suarapakatanrakyat tidak berapa lama dahulu yang mendedahkan mengenai penglibatan Anwar secara langsung dengan portal tersebut. Ketua Pengarang tersebut juga dilaporkan berkata, hanya dia dan Anwar sahaja yang tahu mengenai hala tuju dan peranan yang perlu dimainkan oleh portal tersebut.

Penulis tidak berhasrat untuk membela portal tersebut, kerana merasakan kedua-dua portal tersebut (harakahdaily dan suarapakatanrakyat) adalah merupakan ‘sampah’ yang tidak mempunyai sebarang nilai. Laporan berita yang dimuatnaikan juga tidak mempunyai sebarang kredibiliti yang boleh di sandarkan, tambahan pula keduanya sering melemparkan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan.

Cuma apa yang menarik ialah, permainan politik yang digerakkan untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain walaupun berkongsi objektif dan motif yang sama. Kesimpulannya kedua-dua portal dan gedung fitnah tajaan pakatan pembangkang ini wajar ditutup diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

1 comment:

Anonymous said...

semuanya akan mati pegang akidah kuat-kuat jangan syirikkan allah.