Tuesday, March 26, 2013

Bertahan 21 Jam Selepas Ditembak Dan Ditetak Pengganas



PUTRAJAYA: Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan pada Selasa, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.

"Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

"Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri," katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira 'Operasi Daulat' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

"Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

"Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran," katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

"Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan," katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

"Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

"Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh," katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan.

Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.

Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu.

Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk "Ayahku Seorang Perwira" hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. BERNAMA

15 comments:

Anonymous said...

Tahniah....anda mmg pewira negara...mereka yg gugur juga adalah wira negara....terima kasih krn menjaga kedaulatan negara...

Anonymous said...

perjuangan yg amat berharga dimata dunia.

Anonymous said...

PGB tabik tuan.

wong lan said...

Semoga segala pengorbanan ATM & PDRM mendapat ganjaran yang sewajarnya di dunia mau akhirat... Idop felda teloi timur

awg mahuy said...

We Sabahans Salute!

Anonymous said...

kuatkan semangat dan teruskan perjuangan tuan ...tuan wira negara.. kami sentiasa iringi dengan doa..

mohd hikmat bin ammat hik gandingan said...

trima ksi, pngorbanan yg x trhingga

bong dom said...

sila bertukar laman web saya
http://joezuax.blogspot.com/
Terima kasih untuk jenis anda

Anonymous said...

Tabik hormat kami kepada tuan ... perwira negara. Terima kasih menjaga keamanan dan kedaulatan negara. Perjuangan dan jasa tuan serta seluruh warga PDRM dan ATM kami sanjung dan kenang. Semoga Allah membalas pengorbanan kalian dengan sebaik-baik rahmatNya. Aamiin.

Anonymous said...

Aku pengundi atas pagar. Dlm kes ini, aku masih heran ade lagi org yg sanggup ckp mende tu main2. Even org islam sendiri aku dgr berckp cmtu sbb terlalu taksub dgn idea konspirasi. Itu adalah sikap berprasangka yg aku rasa ustaz2 pn tahu. Sikap itu bkn akhlak yg baik dlm islam. Tp sikap itu lah yg disemai dlm siri ceramah2 agama disurau2 yg cenderung kpd PAS. Aku sendiri dgr semasa aku ke satu surau baru2 ni. Sedih betul org agama bersikap cmtu. Boleh kata setiap kali ceramah agama kt surau tu mesti diselitkn dgn prasangka buruk. Apa nk jadi ostad2 oiiiii....

Anonymous said...

saya pon tabikk...

otaii

Anonymous said...

Alhamdulillah....Allah sentiasa dsisi insan yg perjuangkan & menegakkan ke"amanan negara,semoga jasa bakti kamu dhargai hingga akhir hayat,,, teruskan semangat perjuangan demi bangsa,negara & agama,,, (Mael lambung pasir gudang)

Anonymous said...

Tahniah kepada anggota ATM dan PDRM..semangant juang kalian amat dikagumi...sebagai isteri seorang anggota PDRM saya sangat terharu dan mengalirkan airmata bila membaca pengalaman pahit dan getir dilalui anggota di sana. Semoga semua tamat dan mereka yang bertugas sentiasa dilindungi Tuhan

Anonymous said...

Tahniah kepada anggota ATM dan PDRM..semangant juang kalian amat dikagumi...sebagai isteri seorang anggota PDRM saya sangat terharu dan mengalirkan airmata bila membaca pengalaman pahit dan getir dilalui anggota di sana. Semoga semua tamat dan mereka yang bertugas sentiasa dilindungi Tuhan

Anonymous said...

Terima kasih kerana menjaga kedaulatan negara.. Jasamu tetap dikenang...