Tuesday, April 2, 2013

Parlimen Bubar Tengah Hari Esok?



PETALING JAYA: Seluruh rakyat Malaysia akan menumpukan perhatian dengan penuh debaran apakah benar pengumuman mengenai pembubaran parlimen akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Jika benar maka ia akan menjadi mesyuarat kabinet yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan.

Selepas itu, kerajaan Najib akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sahaja.

Parlimen bagaimanapun akan terbubar secara automatik pada 30 April ini.

Sehingga laporan ini ditulis, perdana menteri masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Tetapi beberapa perkara yang akan berlaku telah menjurus ke arah indikasi yang Rabu mungkin menjadi hari yang dinanti-nantikan oleh semua.

Pertama sekali, esok sebelum bermulanya mesyuarat kabinet, perdana menteri akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong untuk membentangkan laporan kabinet.

Jika Najib berhasrat mahu mengumumkan pembubaran parlimen maka Rabu adalah hari yang paling sesuai kerana pada hari tersebut juga beliau secara rutin memang dijadualkan mengadap Seri Paduka.

Kedua, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh media-media massa, anggota Jemaah Menteri telah diarahkan supaya mengenakan sut serba gelap yang dipadankan dengan tali leher merah untuk sesi bergambar kenang-kenangan yang terakhir.

Difahamkan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan diadakan pada Khamis.

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, Najib dijangka menyertai Program Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya pada pukul 5 petang sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

Beliau dijangka pulang dua hari selepas itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada Selasa meramalkan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada 26 atau 27 April ini selepas beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung pada 24 dan 25 April ini.

Menurut Mustafa, Najib perlu menghadiri Sidang Kemuncak Asean itu sebagai perdana menteri penuh.

"Mengambil kira pembubaran Dewan Undang Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata pilihan raya akan diadakan serentak, jadi pilihan raya akan diadakan tidak lewat daripada 25 atau 26 Mei.

"Paling lewat 27 Mei," ramal beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur, Selasa.

Mustafa berkata ramalan itu dibuat setelah meneliti tarikh-tarikh penting acara rasmi yang perlu dihadiri Najib sebagai perdana menteri di samping mengambil kira pembubaran DUN secara automatik di Negeri Sembilan, bulan lalu.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam itu, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Semenanjung.

2 comments:

Anonymous said...

Sangat elok lah tuh. Jangan buat orang berteka teki sebab susah nak tetap kan tarikh event. Nak buat kerja pun payah.

PROF. DR. ARIFFAIZAL BIN MOHD NOR ARIFFIN said...

Walau apa pun, semoga Malaysia terus selamat, aman sejahtera dan terus maju