Monday, April 1, 2013

Hanya Tinggal Tangga Rumah Sahaja



“Tiada apa lagi yang saya miliki sekarang melainkan hanya tangga di rumah ini. Semuanya musnah menjadi arang,” kata suri rumah, Juhrah Jowak, 48, yang meratap kesedihan apabila rumah papan didudukinya sejak 10 tahun lalu musnah terbakar akibat insiden pencerobohan pengganas.

Dia yang dibawa masuk pasukan keselamatan bagi melihat keadaan rumahnya di Kampung Tanjung Labian, di sini, semalam, hanya mampu menangis dan berpelukan bersama adiknya, Betty, 39, di atas tangga kayu rumahnya, satu-satu bahagian rumahnya yang terselamat.

Juhrah dan Betty tidak mampu menahan emosi dan hanya menangis teresak-esak meratapi igauan ngeri dalam hidup mereka apabila kehilangan rumah yang menjadi tempat berlindung selama ini.

Menurut Juhrah, dia terkedu sehingga tidak mampu berkata apa-apa apabila melihat hanya tangga yang tinggal selain tiang rumah yang hangus selepas meninggalkan kampung itu, 4 Mac lalu.

“Semuanya jadi arang. Banyak barangan saya musnah... wang tunai, katil, mesin jahit, televisyen, peti ais, sofa, mesin basuh dan dokumen diri... semuanya terbakar,” katanya.

No comments: