Sunday, April 14, 2013

KEJUTAN BESAR DI BANGUNAN UMNO SELANGOR ESOK!!



Kemungkinan besar Barisan Nasional akan mengumumkan senarai calon-calon Parlimen dan DUN pada hari Isnin 15 April 2003 secara serentak di seluruh negara termasuklah Selangor.

Setelah hampir setahun berhempas pulas menyediakan strategi dan kononnya mencari calon-calon terbaik, penyokong Barisan Nasional berharapkan satu pasukan yang mantap, kuat dan boleh dipercayai. Namun jika benar khabar angin yang sedang bertebaran di Selangor sekarang ini, BN mungkin berhadapan masalah yang lebih besar daripada dijangkakan.

Kita bersetuju bahawa ketika lemah, para penyokong harus bersatu hati, bersetia kepada keputusan dan berkhidmat kepada parti. Dato Sri Mohd Najib Tun Razak memerlukan sokongan penuh ahli parti dan penyokong parti. Dalam UMNO sendiri, kita diingatkan agar menyokong sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon oleh pucuk pimpinan. Beri peluang kepada pucuk pimpinan pilih calon boleh menang atau “winable candidates” biarpun daripada hierarki parti.

Kita setuju dan akur. Inilah aku janji kita kepada pemimpin dan parti. Tapi saya juga pernah menulis bahawa aku janji dan sokongan kepada pemilihan pemimpin harus dan wajib bersyarat. Syaratnya, pemilihan calon di luar hierarki parti harus yang benar-benar boleh menang bukannya untuk meletakkan calon-calon sahabat dan fraksi pemimpin sahaja.

Ahli dan penyokong tidak boleh diminta taat setia sesuka hati hanya kerana kita dalam keadaan lemah dan mahu merampas kembali negeri-negeri yang kalah. Ahli dan penyokong bukan lembu yang boleh dicucuk hidung sesuka hati oleh pemimpin.

Kita memang mengjangkakan nama seperti Dr. Mohamad Khir Toyo (ADUN Sungai Panjang) dan Abdul Rahman (Parlimen Sabak Benam) akan digugurkan kerana kesnya di Mahkamah. Antara nama lain yang dijangka akan digugurkan kerana telah lama berkhidmat dan atas pengunduran sendiri ialah Datuk Mohd Satim Dimam (Dun Sri Serdang), Datuk Raja Ideris (DUN Air Tawar), Datuk Rahman Palil (DUN Sementa) dan Datuk Ideris Abu Bakar (DUN Hulu Bernam).

Khabar angin yang bertebaran semalam menunjukkan ramai wakil rakyat BN yang menang dalam pilihan raya lalu digugurkan walaupun telah menjalankan tugas dengan baik. Kita tidak mahu mendedahkan nama-nama mereka buat masa ini.

Malahan lebih mengejutkan ada nama-nama yang digugurkan pada tahun 2008 kerana isu peribadi kembali diletakkan sebagai calon bagi mengukuhkan kedudukan orang tertentu. Jika ini berlaku, peluang untuk menawan kembali Selangor mungkin berubah dari “berpeluang tipis” kepada “tiada harapan”.

Malahan saya boleh mengatakan bahawa BN Selangor telah membuang peluang untuk menawan semula DUN Bangi apabila tidak mencalonkan Dr. Amran kasimin sebagai calon. Dr. Amran Kasimin merupakan antara orang yang mampu merampas semula DUN tersebut berdasarkan kedudukan dan pengaruhnya di kalangan pengundi dan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malangnya nama beliau diketepikan langsung. Sebaliknya, nama yang bakal dicalonkan bukan sahaja sukar untuk menang, malah boleh menimbulkan masalah dengan UMNO Bahagian.

Satu lagi nama yang berpeluang membantu Barisan Nasional tetapi kemungkinan tidak dicalonkan ialah Dr. Ma’mor Osman tokoh Persatuan Pengguna Islam Malaysia. BN mempunyai peluang besar jika mencalonkannya di Parlimen Ampang atau Gombak. Malangnya kerana ia bukan dalam “favour” pemimpin tertentu makan beliau langsung tidak dicalonkan.

Lebih serius beberapa nama yang disebut untuk menjadi calon mesra BN di Selangor mungkin boleh menjejaskan harapan BN untuk menawan kembali kawasan tersebut. Ada calon yang boleh menjejaskan undi kaum India akan dipilih sebagai calon mesra BN dan ini mungkin merosakkan seluruh peluang Parlimen tersebut untuk menang.

Selebihnya, saya khuatir pengumuman calon esok tidak akan memberi berita gembira kepada UMNO dan BN Selangor. Jika benar ia berlaku mereka yang membuat keputusan harus bertanggungjawab jika kita gagal merampas kembali Selangor.

Pemimpin tertentu boleh memanipulasi laporan pelbagai pihak untuk menyokong pemilihannya. Hakikatnya, keputusan pilihan raya akan menjadi penentu.

Ingatlah pemimpin menuntut taat setia ahli dan penyokong, dan kita bersedia menyokongnya dengan sepenuh hati. Namun janganlah kesediaan dan kesungguhan akar umbi untuk membantu dan menyokong dipergunakan dan diambil kesempatan. Hubungan pemimpin dan penyokong harus secara dua hala bukan sekadar dari atas ke bawah.

Petikan Dari MYKMU.NET

1 comment:

Anonymous said...

Pandangan yang PATUT di ambil kira oleh pemimpin atasan, jangan hanya krn kepentingan sendiri shj maka calon tertentu dipilih sedangkan yg boleh MENANG diketepikan. Rakyat BUKAN BODOH lage seperti PRU 12 2008 dulu. Ingat, KAMI yg letak ANDA pemimpin di atas & boleh jadi sebaliknya