Friday, April 19, 2013

Ronnie Liu, Teresa Kok – Korban DAP Demi PAS



Ronnie Liu dan Teresa Kok masing-masing telah digugurkan daripada kerusi DUN Pandamaran dan DUN Kinrara.  Bagaimanapun, Teresa akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Seputeh.

Dua nama ini merupakan antara personaliti yang cukup kontroversi dalam parti DAP/PR.  

Ronnie Liu banyak dikaitkan dengan isu samseng, kongsi gelap yang melibatkan rumah-rumah urut, pusat-pusat hiburan serta judi.   Ronnie juga dikatakan terlibat secara langsung menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas untuk membanteras jenayah dan kegiatan maksiat di sekitar Selangor.

Teresa Kok pula cukup terkenal dengan perjuangan dakwah Kristiannya sehinggakan apabila beliau ditangkap di bawah ISA pada tahun 2008 kerana mengarahkan laungan azan diperlahankan, kumpulan pendakwah Kristian iaitu The National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia telah membuat desakan rasmi agar beliau dibebaskan.

Teresa juga merupakan individu yang pertama sekali tampil membela gereja dalam isu murtad yang terdedah luas di Selangor.   Selain isu murtad dan azan, Teresa juga telah menimbulkan kontroversi berkenaan nama jalan di dalam tulisan jawi seolah-olah ia melambangkan perkauman.  Sedangkan tulisan itu punya sejarahnya sendiri kerana merupakan tulisan awal bangsa Melayu di mana ia turut melambangkan agama rasmi negara.

Beliau kemudian menggantikan tulisan jawi tersebut dengan tulisan Cina.  Maka, benarlah, bahawa seorang yang bersifat rasis akan melihat apa saja dan siapa saja dari sudut rasis.

Walaupun kononnya seorang Kristian yang ‘alim’, tetapi Teresa sebenarnya bukanlah seorang yang bersih. Tindakannya menggelapkan wang yang seharusnya disalurkan kepada ibu-ibu tunggal telah didedahkan oleh pembantunya sendiri.  Kisahnya bermula apabila sumbangan yang ‘berlebihan’ telah tidak dicatat dan bagi menutup cerita, Teresa terlebih dahulu menuduh pembantunya, Tony Tan sebagai mengutip derma menggunakan nama parti.

Namun, Tony Tan telah bertindak mendedahkan bahawa Teresa lah yang telah menggelapkan wang tersebut.  Teresa kemudian mengugut untuk menyaman bekas pembantunya itu iaitu pada Ogos 2012, tetapi sehingga kini masih tiada saman dikemukakan.  

Selain tidak telus, berpura alim dan bersifat perkauman, Teresa juga langsung tidak menghormati Institusi DiRaja di Malaysia di mana beliau telah mengabaikan protokol serta tidak menghadiri Festival Lagu-lagu Islamik pada tahun 2010, yang melibatkan DYMM Tuanku Permaisuri Agong sedangkan beliau adalah EXCO yang bertanggungjawab ke atas program tersebut.  

Malah, suatu masa, pendedahan juga dibuat berkenaan surat rasmi kerajaan Selangor dari pejabat Teresa Kok yang jelas menunjukkan bahasa Melayu yang tunggang-langgang serta kepala surat yang menggunakan Bahasa Mandarin.

Kesemua ini bagaimanapun bukanlah alasan sebenar Teresa dan Ronnie digugurkan kerana setiap kontroversi yang mereka cetuskan itu adalah menepati aspirasi DAP.

Sebab utama mereka digugurkan ialah DAP perlu ‘memujuk’ PAS menjelang pilihanraya ini, memandangkan PAS tersebut semakin giat mengasah taring dalam menangani pertentangan dengan DAP.

Mahu tidak mahu, DAP terpaksa meyakinkan PAS bahawa mereka sanggup ‘berundur’ setapak, bagi membolehkan mereka terus mempergunakan PAS di masa depan.  Apatah lagi dengan protes yang agak kuat dari segolongan di dalam PAS berkenaan hasrat DAP untuk menggunakan logo PAS dalam PRU kali ini.

Maka, Teresa dan Ronnie terpaksa digugurkan terlebih dahulu.  Namun, jangan terlalu yakin bahawa DAP ikhlas berundur setapak, kerana Teresa masih dikekalkan di kerusi Parlimen.

Nampaknya, DAP dan PAS akan terus bermuslihat dan bermain catur sesama sendiri sehinggalah pilihanraya berlangsung.  Dan kita pasti muslihat dan permainan ini akan berterusan selagi mereka berpura-pura akan kewujudan sebuah pakatan di antara mereka.

No comments: