Saturday, June 8, 2013

Khir Toyo Setaraf Pencabul Kanak-kanak?


Oleh Lawyer Cabuk

Berapa kali anda melihat Peguam Negara membalas kenyataan Anwar Ibrahim atau mana-mana pemimpin pembangkang? Mengapa Peguam Negara begitu ke hadapan membelasah Dr Mohamad Khir Toyo? Khir Toyo sebagai orang yanag akan masuk ke penjara tentulahlah akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan dirinya.

Berapa kali kita mendengar Peguam Negara muncul mempertahankan keputusan hakim terutamanya membabitkan ahli politik?

Kita tahu ahli politik pembangkang lebih banyak membelasah keputusan Mahkamah tetapi Peguam Negara hanya mendiamkan diri. Namun sekarang Peguam Negara tampil dengan gagah menerangkan keputusan Mahkamah dan juga mengingatkan saya mengenai batasan menghina Mahkamah.

Seingat saya ini merupakan kali kedua Dr Mohamad Khir Toyo "diugut" dengan tindakan menghina Mahkamah. Pertama kali ketika beliau dituduh beberapa tahun lalu. Beliau terpaksa mendiamkan diri.

Setelah panjang lebar menulis mengenai kronologi dari sudut pandangan Pejabat Pendakwa Raya dan juga Hakim, beliau mengingatkan Dr Khir mengenai kemungkinan beliau akan dikenakan hukuman menghina Mahkamah.

5. Apakah tujuan beliau? Supaya Dr Khir tidak lagi menjawab semula kenyataan balas beliau dan mengekalkan persepsi masyarakat mengenai apa yang beliau tulis.

6. Beliau menyatakan bahawa keputusan Mahkamah tidak bergantung kepada harga pasaran tetapi kepada bukti-bukti berdasarkan keadaan kes.

7. Saya tidak pasti jika ada orang biasa dan penjawat faham apakah makna kenyataan Peguam Negara ini? Jika Dr Khir dituduh memperolehi sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi, maka logik akal tentulah akan menyatakan bahawa mestilah ada tanda aras apakah balasan yang mencukupi tersebut.

8. Apakah jika Dr Khir membeli hartanah tersebut pada harga RM 6.5 juta maka ia merupakan satu balasan yang mencukupi walaupun Shamsuddin membeli rumah yang siap dengan perabot, manakala rumah yang dijual kepada Dr Khir merupakan rumah separuh siap?

9. Nilai harga pasaran hartanah tersebut tidak penting tetapi Peguam Negara mengemukakan beberapa saksi yang serius memperkatakan mengenai harga hartanah tersebut:

a. Perjanjian Jual Beli Saksi Pendakwa 1 dan 2,

b. Penilaian oleh Jabatan Penilaian Harta Benda

c. Penilaian Tranas Asia yang kononnya dibuat pada 2007 tetapi tidak pernah dimaklumkan oleh Shamsuddin kepada Dr Khir

d. Dan penilaian oleh Henry Butcher pada 2009 atas arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Justeru jika harga semasa hartanah bukan penentu kesalahan mengapa Pendakwaraya perlu memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan mengenai nilai hartanah tersebut?

Peguam Negara dalam jawapan kepada tulisan Dr Khir menyatakan, "Oleh itu, Mohamad Khir seharusnya tidak mengaburi fakta kes ini dengan mendakwa hakim tidak menyatakan apakah tanda aras yang boleh digunakan, sedangkan beliau telah dibuktikan telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan atau membeli hartanah itu dengan harga yang beliau ketahui tidak munasabah sama sekali dari pemiliknya."

Nah sekali lagi Peguam Negara membuat andaian sendiri sama ada hartanah tersebut munasabah atau tidak. Pada hemat Peguam Negara adalah tidak munasabah Dr Khir membeli sebuah rumah separuh siap dengan harga RM 3.5 juta kerana Shamsuddin telah membelanjakan pembelian dan pengubahsuaian rumah tersebut sehingga RM 7 juta.

Jadi kes pendakwaan ini merupakan kes mengikut logik akal Peguam Negara bukannya logik akal fikir manusia. Akal fikir manusia tidak akan membeli harga rumah yang separuh siap dengan harga rumah sempurna yang telah dibelanjakan oleh pemilik sebelum ini.

Itu belum saya ulas lagi mengenai kenyataan saksi-saksi pendakwaan yang membuat kenyataan bertentangan antara satu sama lain dan juga bertentangan dengan logik akal manusia tetapi masih diterima oleh Mahkamah dan pejabat peguam Negara. Oh! Lupa tidak boleh mengulas kerana nanti menghina Mahkamah.

Bukan Kes Politik

Peguam Negara menafikan bahawa kes Dr Khir merupakan agenda politik. Jika bukan agenda politik mungkin dendam peribadi Peguam Negara ke atas beliau? Saya tidak pasti mengapa Peguam Negara begitu marah dengan Dr Khir. Mungkin Dr Khir perlu bermuhasabah diri mencari sebab mengapa Peguam Negara begitu berdendam dengan beliau.

Pertamanya, adalah tidak masuk akal apabila Hakim Mahkamah Tinggi yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan sebagai Hakim yang membicarakan kes Dr Khir.

Adalah tidak masuk akal, Hakim terbabit juga cuba meninggalkan ruang Mahkamah selepas menjatuhkan hukuman ke atas Dr Khir tanpa menunggu untuk mendengar sebarang permohonan peguam bela untuk menangguhkan hukuman. Hakim terbabit hanya kembali duduk selepas dipanggil oleh barisan peguam bela Dr Khir.

Apa maknanya ini? Hakim terbabit seolah-olah mahu terus memenjarakan Dr Khir biarpun ia hanyalah keputusan pertama dalam sistem keadilan Negara.

Adalah tidak masuk akal Dr Khir didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan tetapi sebahagian hukuman iaitu merampas rumah diambil daripada Akta Pencegahan Rasuah. Menurut Peguam Negara,

Berhubung dakwaan Mohamad Khir Toyo bahawa kes ini bukan rasuah, adalah ditegaskan bahawa Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak langsung terhadap individu berkenaan.

Hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Apa yang Peguam Negara yang bijaksana tidak nyatakan ialah beban pembuktian mengikut Seksyen 165 ini jauh lebih mudah berbanding Akta SPRM. Sebab itu hukuman penjaranya berbeza dan lebih ringan.

Justeru, adakah adil menjalankan pendakwaan di bawah pertuduhan yang ringan beban pembuktiannya tetapi menjatuhkan hukuman menggunakan Akta yang lebih berat beban pembuktiannya? Apa tujuan? Keadilan?

Lebih tidak masuk akal ialah Pendakwa Raya cuba untuk menghalang lanjutan jaminan Dr Khir selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memenjarakan Dr Khir dan merampas rumah beliau biar pun beliau masih mempunyai langkah terakhir melakukan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Tidak malukah Peguam Negara apabila Pendakwa Raya menggunakan fakta kes dalam Akta Kanak-kanak bagi menghalang permohonan Dr Khir untuk mendapatkan penangguhan hukuman sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan mendapat keputusan?

Apakah Dr Khir setaraf dengan pencabul dan pendera kanak-kanak? Apakah ini bukan agenda membina imej politik pihak tertentu atau dendam peribadi ? Jika tidak mengapa mereka berusaha keras memenjarakan Dr Khir secepat mungkin?

Dr Khir mungkin menghina mahkamah tetapi adalah lebih memalukan jika Peguam Negara dilihat seolah-olah menghina KEADILAN.

3 comments:

Anonymous said...

Org begini yg memegang kuasa mengadili lambat laun pasti mendpt teguran Allah..teguran lembut atau keras hak Allah???????

Kpd yg merasa teraniaya bykkan sembahyang hajat dan malam tahajjud. InsyaAllah lambat atau cepat..pasti mendpt jawaban dr Allah.. Kita ingat diri ingat perbuatan sebelum kita mendpt bala musibah yg tak mampu ditolak. Kuasa Allah melebihi kuasa manusia. Hanya manusia merasa gagah dimuka bumi.

Anonymous said...

Dari mula perlantikan beliau sebagai peguam negara saya rasa geli....kerana saya tahu tahap dan siapa gani .......kah kah.....Sekarang tengoklah tingkahlaku yang gani tunjukan ......beliau mempunyai niat untuk memenjarakan Khir dan cuba mempengaruhi Mahkamah untuk kepentingan tertentu ....dan mengharap sesatu yang mencukupi untuk dirinya......Mari kita buktikan melalui proses undang undang..

Anonymous said...

Kesian Dr. Khir. Kalau tujuan memenjarakan Dr.Khir adalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan serius menangani rasuah, memang langkah yang paling tidak bijak. Ia akan hanya menunjukkan kerajaan lemah, dan yang paling kesian adalah mangsa dalam kes ini, iaitu Dr.Khir. Terguling-guling gelak pembangkang melihat BN mengorbankan orang mereka sendiri demi hendak dipandang mulia. Iu bukan caranya. Pembangkang akan lebih galak lagi setelah melihat usaha mereka membuahkan hasil.