Tuesday, July 2, 2013

MAKIN MERIAH!!! 3 PENJURU REBUT JAWATAN KETUA WANITA UMNO



KUALA LUMPUR: Perebutan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno dalam pemilihan parti itu tahun ini menyaksikan lebih ramai nama-nama besar menunjukkan minat mencabar kedudukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sehingga kini desas-desus kuat mengatakan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique berminat menawarkan diri mengisi kedudukan orang nombor satu sayap parti itu.

Bagaimanapun Halimah ketika ditemui di bangunan Parlimen mengambil pendirian 'kunci mulut' tanpa memberi sebarang komen lanjut.

Ketika diajukan soalan mengenai khabar angin tersebut, bekas Exco Pergerakan Wanita Umno itu secara bersahaja memberi isyarat 'zip mulut' sambil tersenyum.

"Tak nak, tak nak...tak nak (komen)," kata Ahli Parlimen Tenggara itu ringkas.

Sebelum ini seorang lagi pemimpin dari Johor yang juga bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan sedia mencabar Shahrizat.

Pada pemilihan Umno 2008, Halimah bertanding jawatan Naib Ketua Wanita namun tewas kepada Datuk Kamelia Ibrahim.

Halimah dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berjaya mengekalkan kemenangannya di Parlimen Tenggara selama dua penggal berturut-turut sejak 2008.

Bekas Ketua Wanita Umno Johor itu memulakan karier politik pada 1995 selepas terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Lambak pada pilihan raya umum ke-9.

1 comment:

Anonymous said...

Halimah ni tak sesuai untuk ketua wanita UMNO dimasa ini........Azlina lebih sesuai ......kak ijat bersaralah .......main main dengan cucu macam kak rafidah.....