Tuesday, August 6, 2013

PENGKHIANAT NEGARA HANYA DI PENJARA TUJUH TAHUN????


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, hukuman penjara maksimum mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan, ke atas Koperal Detektif Hassan Ali Basari, 61,kerana menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Sabah.

Hakim P. Ravinthran memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap 2 Mac.

Beliau berkata, walaupun Seksyen 130M turut membawa hukuman denda jika sabit kesalahan, hukuman itu tidak akan dikenakan.

Hassan didapati bersalah melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Cawangan Khas Lahad Datu antara Januari dan 2 Mac tahun ini.

Ravinthran berkata, beliau menjatuhkan hukuman penjara maksimum ke atas Hassan kerana tertuduh bukan orang awam biasa.

"Anda adalah pegawai Cawangan Khas di Lahad Datu dan anda terima maklumat ini (mengenai pencerobohan di Kampung Tanduo). Jadi anda berada dalam kategori berbeza kerana anda wajib mendedahkan maklumat seumpama itu.

"Oleh itu, hanya sedikit sahaja penghargaan patut diberikan kepada perkhidmatan anda yang lama (38 tahun) dalam pasukan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Dalam penghakimannya, Ravinthran berkata pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga fakta yang dikemukakan dalam perbicaraan peringkat kes pendakwa selama empat hari dari 24 Jun.

Beliau berkata, saksi pertama yang dilindungi telah memberikan maklumat amatpenting kepada Hassan pada Januari mengenai hasrat pasukan yang dipanggil Pasukan Tentera Diraja Sulu untuk memasuki Sabah, yang Hassan gagal dedahkan kepada pegawai atasannya.

Beliau juga berkata, tiga transkrip panggilan telefon yang dipintas memperkukuhkan lagi niat Hassan untuk menyembunyikan maklumat pencerobohan oleh pasukan tentera berkenaan.

Walaupun pencerobohan itu tidak berlaku semasa Hassan diberitahu mengenai pencerobohan yang bakal berlaku itu oleh saksi yang dilindungi, Ravinthran berkata pencerobohan itu akhirnya berlaku dan pasukan keselamatan boleh bersedia untuk mencegahnya daripada berlaku sekiranya Hassan memaklumkan perkara itu kepada pegawai atasannya.

Terdahulu, semasa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah Malaysia dan tertuduh menyumbang kepada perkara itu.

"Niat tertuduh untuk tidak memaklumkan pegawai atasannya telah menyebabkan anggota keselamatan kita cedera dan terbunuh semasa berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

"Keluarga mereka telah kehilangan orang tersayang. Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk memastikan keselamatan rakyat yang terjejas. Ini tidak termasuk kerosakan banyak harta benda.

"Ini adalah perbuatan khianat terhadap negara kerana sebagai anggota polis, beliau (Hassan) bertanggungjawab melindungi orang ramai. Oleh itu, beliau tidak setia kepada pasukan polis," kata Nordin.

Peguam Ram Singh berkata, pihak pembelaan akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hassan kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan dan bersalaman serta memeluk anggota keluarganya yang menangis, sebelum dia dibawa keluar. - BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Anwar tianchua sivarasa terlepas...pandai depa bertiga ni mereka ni layak jadi pemimpin bangsa masing2.