Wednesday, October 23, 2013

Mampukah PAS Mempertahankan Kekuatannya Di Sungai Limau?


Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N20 Sungai Limau secara rasminya akan bermula sebaik sahaja selesai proses penamaan calon hari ini. Sebagai penyandang, PAS mempunyai kelebihan berbanding BN kerana DUN Sungai Limau yang dulu dikenali sebagai Sala sering dianggap sebagai kubu kuatnya.

Pun demikian, jika rekod PRU-PRU terdahulu dijadikan sandaran, secara umumnya Sungai Limau bukanlah kubu kuat PAS dalam erti kata sebenar. Kenapa penulis katakan begitu?

Sungai Limau walau pun kelihatan seperti kubu PAS namun ia tidak seperti PAS Pengkalan Chepa yang kubunya sukar ditembusi, sebaliknya penguasaan PAS di Sungai Limau turun naik dan kekuatannya pernah diruntuhkan oleh BN beberapa kali sebelum ini.

Bukan sekali dua BN melakukannya tetapi 4 kali yakni sebelum Allahyarham Ustaz Azizan diangkat mewakili PAS di sini.

BN menguasai DUN Sungai Limau pertama kalinya pada PRU 1959 diikuti PRU-02 1964, kemudian mengulanginya lagi pada PRU 1982 dan 1990. Manakala PAS pula juga menawannya sebanyak 4 kali yakni semasa PRU tahun 1969, 1974 (PAS-BN), 1978 dan 1986.

Dari imbasan rekod itu jelas penguasaan bersilih ganti dan memperlihatkan kekuatan pengaruh BN dan PAS seimbang di Sungai Limau.

Hanya bermula PRU-09 1995 hingga PRU-13 barulah ia dikuasai PAS secara konsisten melalui Allahyarham Ustaz Azizan dengan perolehan undi yang meningkat saban kali PRU meskipun di masa yang sama undi majoriti kemenangannya turun naik sepanjang 5 penggal Allahyarham bertanding di Sungai Limau.

Jelas sekali, PAS hanya dilihat dominan di Sungai Limau disebabkan adanya faktor pengaruh peribadi Allahyarham Ustaz Azizan yang diketahui umum dihormati penduduk setempat yang mendorong kemenangan Allahyarham di sana.

Selain itu, Allahyarham juga memiliki hubungan kekeluargaan dengan ramai ahli dan penyokong UMNO di Sungai Limau yang mana sebahagian besarnya atas faktor menghormati Allahyarham telah turut menyumbang kepada undi yang besar kepada PAS semenjak 5 penggal yang lepas.

Kini tanpa kelibat Allahyarham ditambah pula dengan penghinaan yang pernah dilemparkan oleh sesetengah pimpinan PAS Kedah dan Pusat terhadap Allahyarham Ustaz Azizan sepanjang 5 tahun menjadi MB Kedah, tidak dapat tidak ia akan memberi kesan terhadap perolehan undi untuk PAS dalam PRK DUN Sungai Limau.

Ini bermakna, walau pun mungkin sekadar cahaya di hujung terowong tapi peluang untuk BN menguasai kembali DUN Sungai Limau tetap ada jika kena dengan gerak kerja yang dilaksanakan sepanjang kempen PRK ini. Satu tugas berat tapi tidak mustahil untuk direalisasikan.

Kalau tak menang pun paling tidak BN berpeluang untuk mengurangkan jumlah undi dan majoriti kemenangan PAS. Itu sudah satu kemenangan moral bagi BN selaku calon underdog.

Andaikata PAS berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegangnya sejak PRU-09 1995 hingga PRU-13 2013 dengan peningkatan undi dan jumlah majoriti, bermakna ia satu petanda baik untuk PAS kekal relevan di Kedah selain dapat membantu memulihkan kembali pengaruh PAS di arena politik nasional.

Sebaliknya jika PAS tewas atau pun cuma menang dengan majoriti yang kian berkurangan, ia akan menjadi mimpi ngeri yang menandakan kemerosotan pengaruh PAS dan bakal membawa kesan buruk untuk parti itu pada PRU-14 kelak.

Petikan Mykmu.net

No comments: