Friday, January 24, 2014

KHALID WAJIB DISINGKIRKAN!!!- MPP PKR

SHAH ALAM: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mencapai konsesus mahu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, demikian menurut Pengerusi Biro Pekerja PKR Abdullah Sani Abdul Hamid.
 
Malah ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat perkara tersebut akan diputuskan oleh kepimpinan teringgi parti, walaubagaimanapun beliau tidak memberitahu calon yang diusulkan untuk menggantikan Khalid.

"Ya, secara kolektifnya kita dah bersetuju bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim wajib ditukar.. Ahli-ahli majlis pimpinan berbincang secara serius tanpa ada bantahan daripada mana-mana ahli majlis tertinggi, dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa Khalid perlu ditukarkan, wajib ditukarkan.
 
"Biarlah kepimpinan tertinggi parti untuk melaksanakan tugas mereka pula," katanya kepada Antarapos.

Semalam Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dilihat cuba mempertahankan mengenai kedudukan Khalid selepas Menteri Besar itu terpalit dengan kontroversi terbaru bersabit pengguguran timbalan presiden parti Azmin Ali dari lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Saifuddin berkata sungguhpun beberapa ahli MPP menzahirkan keperluan Khalid dipecat, tidak ada keputusan sedemikian diambil pada mesyuarat 15 Januari itu.

"Tak bincang (lucut jawatan Menteri Besar). Jadi tak timbul isu Azmin ganti Khalid," kata Saifuddin.

Abdullah dalam pada itu juga enggan mengulas lanjut berkenaan alasan atau sebab musabab yang mendorong kepimpinan parti bersetuju agar Khalid dilucutkan sebagai peneraju Selangor.

"Terlalu banyak yang tidak perlu saya gariskan kerana tugas saya ialah memastikan bahawa ianya menjadi kenyataan," kata beliau ringkas.
 
Keputusan terletak di tangan Anwar
 
Sementara itu Ketua Angkatan Muda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin pula hanya membayangkan bahawa majoriti anggota dalam MPP mendesak agar Ketua Umum parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat suatu keputusan yang dilihat mampu membuat perubahan dalam parti.

Walau bagaimanapun beliau tidak menjelaskan isu yang menjadi perhatian dan dibangkitkan oleh anggota MPP sekaligus membuat teguran secara spesifik.
"Kita bincangkan secara menyeluruh hal-hal berkaitan dengan negeri Selangor dan tentunya ia berkaitan dengan isu rakyat, air khususnya, perkara yang berkaitan dengan PKNS, kedudukan saudara Azmin sebagai Timbalan Presiden.

"Sentimen yang agak kuat untuk Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum PKR menggunakan kebijaksanaan beliau untuk melakukan perubahan terhadap perkara yang dibangkitkan," tegasnya.
 
Senada dengan Iskandar, Ahli MPP PKR Dr Xavier Jayakumar tidak menafikan bahawa penyingkiran Khalid memang ada dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Memang itu sudah tahu ada (bincang).

"Memang ada bincang. Dan tindakan-tindakan sewajarnya dipersetujui oleh keseluruhannya dan tanggungjawab itu kita berikan kepada pimpinan utama dalam parti untuk cuba menyelesaikannya," katanya lagi.
 
Desakan Khalid dipecat sebagai MB adalah urutan reaksi kepada beberapa tindakan kerajaan negeri Selangor yang dilihat membelakangkan parti.
 
Pejabat Menteri Besar kelmarin mengesahkan ia telah mencadangkan kepada Exco Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula kedudukan Azmin sebagai ahli lembaga PKNS pada 2 November lalu.

Khalid mendakwa Exco kerajaan negeri tidak membuat keputusan menggugurkan Azmin, sebaliknya tindakan itu diambil oleh Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Dalam kenyataan balas, PKNS menegaskan pihaknya hanya memaklumkan Azmin bahawa Exco kerajaan negeri bertindak menggugurkan beliau pada 13 November lalu.

Khalid sebelum itu juga dilihat meminggirkan pimpinan PKR dalam isu penstrukturan semula air yang menyaksikan beliau akhirnya bersetuju terhadap pembinaan loji rawatan Langat 2 dan pengambilalihan empat syarikat konsesi air oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebelum itu Khalid sering mendakwa Langat 2 sebagai projek mega yang membazir dan hanya bertujuan menguntungkan kroni Barisan Nasional.

No comments: