Sunday, February 23, 2014

Berita Harian Dakwa Hukum Hudud Termasuk Pancung Kepala Jika Tidak Solat



Semalam akhbar Berita Harian menyiarkan satu laporan mengenai pelaksanaan hudud di muka surat 36-37 bahagian rencananya yang bukan sahaja boleh membawa kekeliruan tetapi juga polemik yang berkesudahan dan memburukkan imej Islam dalam bahagian ”Hukuman ditetapkan al-Quran dan Hadis.”

Dalam bahagian tersebut penulis antara lain menyatakan, “… Hukum Hudud seperti potong tangan kepada pencuri, hukum dipancung kepala orang yang meninggalkan solat tiga waktu berturut-turut sesudah dinasihati, …”

Memasukkan hukuman pancung kepala ke atas mereka yang tidak solat sebanyak tiga kali berturut-turut sebagai sebahagian fakta mengenai hudud yang tidak boleh dicabar menimbulkan kekeliruan yang sangat besar.

Hukuman Hudud yang tidak boleh dicabar atau ditentang ialah hukuman yang bersifat “qatie” atau jelas. Sebaliknya, hukuman pancung kepala kepada orang yang meninggalkan solat tiga kali berturut-turut langsung tidak jelas nas yang dibawa kecuali ijtihad ulama bahawa mereka ini jatuh kafir dan tergolong dalam kumpulan murtad yang hukum bunuh.

Justeru bagaimanakah ijtihad ulama ini dianggap sebagai hukum hudud yang wajib dilaksanakan tanpa boleh dicabar atau dipertikaikan?

Apakah mereka yang wajib dihukum bunuh ini kerana ingkar suruhan solat atau kerana menolak solat sebagai kewajipan dalam Islam?

Apa yang berlaku sebenarnya ialah, kebanyakan ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa sesiapa yang ingkar kepada hukum wajib sembahyang, maka dia akan menjadi kafir dan dihukum murtad. Ini kerana kewajipanya telah disabitkan kepada dalil Al-Quran, Sunnah serta Ijma’ Ulama’.

Salah satu hadis, Rasulullah bersabda, ‘Lima waktu sembahyang yang Allah wajibkan ke atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya dengan baik dengan tidak meringankan hak-Nya, maka Allah menjanjikan dia dimasukkan ke dalam syurga dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya, maka Allah tidak mempunyai janji dengannya. Jika Dia (Allah) mahu Dia akan menghukumnya dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuninya’. (H.R. Ahmad, Abu Daud & Al-Nasaei)

Firman Allah, ‘Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka? Jawab orang-orang yang bersalah, ‘Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang’. (Al-Mudassir : 42-43)

Bersabda Rasulullah, ‘Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka Allah dan Rasul-Nya tidak akan bertanggungjawab terhadapnya’. (H.R. Ahmad)

Tidak ada satu ayat al-Quran mahu pun Hadis menyatakan orang yang meninggalkan solat tiga kali berturut-turut wajib dihukum pancung kepala jika tidak bertaubat setelah dinasihat.

Ada beza besar antara MENOLAK hukum Solat itu kewajipan dalam Islam dengan meninggalkan solat tiga kali berturut.

Apakah umat Islam hari ini tidak boleh membezakannya hingga membuat kenyataan mengarut seperti ini?

Paling mengelirukan mengapa umat Islam di negara ini lebih sibuk bincang menghukum dan membunuh orang daripada mencari jalan berdakwah dan menarik orang memeluk Islam.

3 comments:

Anonymous said...

Nyawa dan anggota tubuh adalah pemberian dan amanah Allah swt, hanyalah Dia yg berhak mengambil dan menghilangkannya, atau hanya dengan perintah yg jelas drpdNya. Ijtihad ulama' tidak seharusnya terpakai dlm hal ini.
Dan lagi, berlakukah di zaman Rasullullah saw, Baginda menangkap mrk mrk yg tidak bersolat lalu memancung kepalanya.
Tidak dinafikan keilmuan para ulama', dan tidak dinafikan pentingnya ibadah solat yg menjadi tiang agama. Tp hukuman dunia sebegitukah yg dilaksanakan Nabi saw.

Anonymous said...

Ini adalah kerana umat Islam hari ini telah diresapi ajaran sesat iaitu politik duniawi adalah level tertinggi dalam pengabdian kita kepada Allah s.w.t. dan bukannya kepada rukun iman yang kita wajib yakini. Umat Islam di Malaysia harus pandai membezakan antara politik dalam agama atau agama politik. Ajaran agama Islam adalah cara hidup kita di dunia hingga ke alam akhirat yang terjamin keselamatan dan segala kebaikan balasan. Politik hanyalah satu cabang pengisian dalam kehidupan dan bukannya satu cara hidup total Islam. Setiap kebaikan yang dibawa oleh pemimpin Negara yang sah mestilah dipatuhi dengan niat ikhlas kepada Allah, kerana kita yakin kepada Qada dan Qadar Allah yang Maha Mengetahui.

usin said...

siapa penulis artikel tersebut? adakah penulis menulis berdasarkan akal dan pemikirannya sahaja atau juga berlandaskan nas-nas yang sahih? penulis artikel tersebut mungkin terlupa membezakan situasi si peninggal solat. samada sengaja meninggalkan solat tetapi tetap percaya bahawa solat itu hukumnya wajib atau meninggalkan solat kerana ingkar hukum dan menolak kewajiban bersolat. akhir-akhir ini terlalu ramai yang kononnya bijak pandai agama lebih gemar mengeluarkan artikel yang bersifat menghukum dan menakut-nakutkan berbanding menceritakan kelebihan dan keseronokan beribadah.