Monday, February 3, 2014

MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH- N25 KAJANG BUKAN LALUAN MUDAH ANWAR



BANGI: Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana calon lawan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata walaupun ada pihak memberikan pandangan supaya BN tidak payah bertanding andai PRK DUN Kajang diadakan, amalan biasa BN ialah menawarkan peluang kepada pengundi untuk memilih calon.

"Saya tak fikir kita (BN) nak bagi laluan mudah untuk pihak pembangkang bertanding sama ada (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja (yang bertanding)," katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan mengejut harga barang di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini pada Isnin.

Beliau berkata walaupun kerusi itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu, namun pengundi kawasan itu diberikan pilihan sekali lagi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas anggota DUN itu, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas, dan pakatan pembangkang menamakan Anwar yang juga Penasihat PKR sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan.

Mengenai calon BN, Muhyiddin berkata ia akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN dengan mendapat pandangan daripada pemimpin parti komponen BN selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Secara peribadi (tradisi) kawasan itu adalah kawasan MCA, ada yang berpandangan dengan kepimpinan baharu MCA, kemungkinan kita nak bagi peluang, nak menguji penerimaan pengundi disitu tentang kepimpinan baharu MCA," katanya.

Sementara itu, mengenai persekolahan empat anak pasangan Malaysia yang sedang ditahan di Sweden, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan hari ini telah mengeluarkan surat membolehkan mereka meneruskan pelajaran mereka.

"Isu ini tidak jadi masalah bagi kita. Kita bagi segala tempat bagi mereka belajar di sekolah yang dekat dengan tempat kediaman mereka.

"Kalau mereka kurang fasih Bahasa Melayu (BM), dalam tempoh pembelajaran nanti kita bagi sedikit penekanan supaya mereka boleh tumpu pada penguasaan BM," katanya.

Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba di tanah air Sabtu lepas. Mereka kini dijaga ibu saudara mereka di Kampung Bukit Tanah di Peringat, Kelantan.

Bapa dan ibu mereka, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman pihak berkuasa Sweden sejak 18 Disember lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat. BERNAMA

No comments: