Saturday, March 1, 2014

KU NAN SMASH ANWAR



PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbuat apa sahaja untuk menjadi menteri besar selepas gagal menjadi perdana menteri, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sanggup meminta ahlinya sendiri Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)Kajang bagi membolehkannya bertanding untuk merealisasikan hasratnya menjadi Menteri Besar Selangor.

"Anwar berfikir kalau tak boleh jadi perdana menteri, jadi menteri besar pun cukup. Beliau ada masalah watak, tolonglah selamatkan Selangor daripada Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program gerak gempur nyamuk Aedes anjuran Jabatan Kesihatan Putrajaya di Presint 11 di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noorhisham Abdullah dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

"Anwar menyimpan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri tidak kira semasa di Umno atau Parti Keadilan Rakyat tetapi cita-citanya gagal direalisasi melalui pilihan raya (umum)," katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Lee meletak jawatan pada 27 Jan lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Pilihan raya kecil DUN Kajang ditetapkan 23 Mac manakala penamaan calon 11 Mac.

Tengku Adnan berkata permainan 'gila kuasa' Anwar dilihat sejak beliau keluar penjara pada 2004 apabila meminta isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk beliau bertanding.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengucapkan syabas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan bagi penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

"Beliau sedar masalah air di Lembah Klang telah memberi kesan kepada rakyat tidak seperti segelintir pemimpin pembangkang yang hanya memikirkan mengenai politik," katanya.

Melalui MoU dimeterai 26 Feb lepas, kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) dan memastikan semua kelulusan dan kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU ditandatangani.

Kerajaan pusat pula bersedia menyuntik dana tambahan RM2 bilion untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri. - BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Anwar Ibrahim berasal dari Pulau Pinang, mengapa Anwar Ibrahim tidak meminta ADUN di Pulau Pinang mengosongkan kerusi untuknya? Mengapa perlu ke Selangor? Di negeri asalnya sendiri pun Anwar Ibrahim ditolak. Mungkin rakyat Selangor khasnya Kajang terlalu BANGANG jika menerima Anwar Ibrahim.