Tuesday, April 8, 2014

90% Undang-Undang Malaysia Berteraskan Islam



Niat untuk melaksanakan hudud itu perlu ikhlas. Sebarang manipulasi sistem Allah ini akan memberi kesan yang buruk terhadap perlaksanaan Hudud. Selama ini orang yang bukan Islam mempunyai pandangan yang cukup negatif dan buruk terhadap perundangan Islam. Mereka anggap Hudud sebagai undang-undang yang cukup zalim dan tidak berperikemanusiaan. Salah siapakah ini? Hakikatnya 90% perundangan Malaysia yang ada sekarang adalah menepati hukum Islam. Namun disebabkan sikap PAS yang terlalu taksub cuba memanipulasikan Islam untuk kepentingan politik telah menyebabkan isu hudud dipergunakan untuk menimbulkan keraguan dikalangan umat Islam di Malaysia.

Perlu kita ingat bahawa semua umat Islam bertanggungjawab untuk memastikan perlaksanaan hukum hudud. Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah s.w.t di dalam Al Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Hukuman potong tangan ke atas pencuri antara perkara yang amat digeruni oleh bukan Islam dan dianggap melampau dan tidak adil sedangkan hukuman tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya dilaksanakan. Ianya perlu memenuhi tujuh syarat utama iaitu :-

Pertama: Menepati definisi mencuri

Kedua: Barang yang dicuri mencukupi nisab

Ketiga: Harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki

Keempat: Harta dicuri dari tempat penjagaan

Kelima: Bukan harta syubahat

Keenam: Pencuri itu akil-baligh dan terikat hukuman dalam Islam

Ketujuh: Sabit kesalahan mencuri dengan pengakuan atau disaksikan oleh saksi yang adil

Walaupun begitu ianya juga tertakluk kepada sebab perbuatan mencuri tersebut. Sekiranya seseorang itu mencuri kerana kebuluran maka pemerintah bertanggungjawab untuk membantu pencuri tersebut kerana perbuatan beliau bukanlah satu perbuatan yang disengajakan.

Hudud tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Ianya perlukan perancangan dan kajiselidik yang cukup teliti. Rasulullah sendiri mengambil masa sebelas tahun semasa di Madinah sebelum dapat melaksanakan undang-undang hudud sepenuhnya. Ketidak ikhlasan PAS dalam melaksanakan hudud di Kelantan dan Terengganu telah terbongkar dengan sendirinya. Sebelum dapat merampas Kelantan, Nik Aziz pernah berkata bahawa beliau akan melaksanakan hudud sebaik sahaja beliau dapat merampas Kelantan dari UMNO. Namun setelah lebih dari dua puluh tahun PAS memerintah Kelantan mereka masih belum berjaya melaksanakan hudud. Kini UMNO ingin membantu mereka tetapi dengan syarat hudud mereka perlu telus mengikut hukum Allah bukannya manipulasi hukum demi kepentingan peribadi pemimpin PAS itu sendiri.

Tambahan pula walaupun kedudukan Kelantan dan Terengganu sebelah menyebelah namun draf hudud mereka berbeza sedangkan hukum Allah tidah sepatutnya berbeza mengikut negeri. Ianya tidak boleh dimanipulasikan sewenang-wenangnya.

Menurut hudud Kelantan terdapat 6 jenis kesalahan manakala dalam hudud Terengganu pula ada 7 jenis kesalahan. Ini merupakan bukti ketara draf hudud PAS telah dimanipulasikan.

6 Jenis Kesalahan Hudud PAS Kelantan
Sariqah (mencuri)
Hirabah (merompak)
Zina
Qazaf (tuduhan zina tanpa 4 saksi)
Syrub (minum arak)
Irtidad atau Riadah (keluar dari Islam)

7 Jenis Kesalahan Hudud Terengganu
Sariqah (mencuri)
Hirabah (merompak)
Zina
Qazaf (tuduhan zina tanpa 4 saksi)
Syrub (minum arak)
Irtidad atau Riadah (keluar dari Islam)
Bughah

Ketelusan dan keikhlasan dalam perlaksanaan hudud yang merupakan hukum Allah bakal menaikkan mertabat Islam di mata dunia. Namun sebarang sabotaj dan pengkhianatan bakal menyebabkan Islam terus dilabel sebagai agama yang melampau dan zalim.

Rakyat Malaysia juga perlu tahu bahawa hebatnya kerajaan Barisan Nasional dalam meneraju Malaysia sejak sekian lama, telah mengubal undang-undang negara sehingga 90% perundangan kita berdasarkan perundangan hukum Islam. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menyatakan bahawa sekiranya Malaysia melaksanakan undang- undang Islam sepenuhnya, lebih daripada 90 peratus undang- undang sedia ada tidak akan berubah. Persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular sebenarnya tidak perlu diperbincangkan kerana dalam Perkara 3(1) Perlembagaan jelas memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan.

Niat terletak dihati. Sekiranya hati telah keras dan hitam segala tindak tanduk akan menjadi satu pengkhianatan terhadap agama Islam, bangsa Melayu dan negara. Ingatlah perpaduan umat Islam disaat kita diprovokasi dengan satu tujuan untuk menjatuhkan bangsa Melayu dan agama Islam kita perlu bangkit bersatu dan kembali ke pangkal jalan.

Petikan Mykmu.net

No comments: