Tuesday, April 15, 2014

Air Percuma Kerja Bodoh Khalid Ibrahim-ADUN DAP



SHAH ALAM 14 April – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri daripada DAP meminta kerajaan negeri Selangor mengkaji semula pemberian air percuma kepada rakyat negeri ini.

Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) berkata, pemberian air percuma dilihat hanya satu dasar populis dan bukan keputusan yang paling bijaksana dan efisien untuk menguruskan air di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1 bilion untuk membiayai pemberian air percuma 20 meter padu bagi setiap rumah sejak dilancarkan pada 2008 dan dana itu sepatutnya dilaburkan kepada perbelanjaan modal (Capex) bagi menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) ketika ini yang berada pada kadar 35 peratus.

“Penurunan NRW akan menurunkan permintaan air mentah, menjimatkan wang melalui pengurangan kos rawatan dan pengagihan air, selain mengawal tarif air,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Yeo berkata, jika empat tahun lepas kerajaan negeri membelanjakan peruntukan negeri untuk Capex dan membina lebih banyak projek Hybrid Off River Augmentatiom System (Horas), beliau pecaya masalah air ketika ini mungkin tidak akan berlaku.

“Saya harap kerajaan negeri perlu mengkaji semula sama ada perlu terus menggunakan tujuh peratus daripada hasil tahunan negeri untuk membiayai air percuma ini atau melabur dalam Capex.

“Kita sepatutnya mengutamakan jaminan bekalan air kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mahu memberikan air percuma,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang perbekalan tambahan berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada hendak melanjutkan tempoh catuan air di negeri ini memandangkan kenaikan paras air di beberapa empangan.



Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lepas melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. – BERNAMA

No comments: