Saturday, April 5, 2014

BIL CEKIK DARAH- KENYATAAN CELCOM YANG PUTAR BELIT !!!



Saya berterima kasih kepada CELCOM yang “begitu prihatin” dan bersungguh menyelesaikan masalah bil telefon saya setelah saya menulis di laman ini, selain liputan dalam Utusan Malaysia, Suara.Tv dan juga aduan yang saya buat secara langsung kepada CEO Celcom.

Dalam masa tidak sampai 4 jam selepas pejabat CEO CELCOM menerima laporan, talian saya telah dilepaskan dari sekatan dan saya juga mendapat panggilan daripada perkhidmatan pelanggan CELCOM. Dalam hari yang sama satu nombor laporan aduan telah dihantar kepada saya. Maknanya aduan boleh dibuat tanpa menunggu bil akhir dikeluarkan seperti didakwa oleh Celcom Care Line dan Celcom Blue Cube.

Sehari kemudian saya dimaklumkan bahawa terdapat kesilapan teknikal kerana CELCOM mengenakan caj data roaming semasa saya di Phnom Penh tanpa mengikut pakej yang mereka tawarkan iaitu RM38 sehari jika mengalihkan talian kepada Smart Cambodia.

Sungguh pun demikian, penjelasan CELCOM dalam Utusan Malaysia hari ini agak mengelirukan. Ketika mereka cuba menyatakan kesalahan teknikal mereka telah diatasi dan masalah caj berlebihan saya diperbetulkan, CELCOM juga cuba memberi gambaran kurang tepat dan seolah-olah ingin turut sama mengheret saya dalam kesalahan ini.

Menurut Utusan Hari ini, CELCOM menyatakan, ““Celcom mempunyai perjanjian dengan Hello yang mana pengguna Celcom akan menikmati kadar guna pakai RM38 ketika berada di Kemboja dan begitu juga dengan pengguna Hello di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, perjanjian Celcom dengan Smart hanya membolehkan pengguna menikmati perayauan dengan rangkaian Celcom sahaja di Malaysia. Kenyataan itu menjelaskan bahawa Abdul Jalil telah dikenakan perkhidmatan data perayauan mengikut pakej kadar guna pakai kerana promosi RM38 hanya ditawarkan oleh Hello. [Lihat petikan Utusan Malaysia di bawah]

Saya tidak pasti apakah maksud ayat ini? Apakah ia bermaksud saya salah memilih Smart dan bukannya Hello ketika berada di Cambodia? Apakah ini bermakna pemberian pakej RM38 sehari kepada saya adalah belas ihsan CELCOM?

CELCOM sepatutnya menjelaskan bahawa adalah kesilapan mereka mengenakan caj berlebihan atas penggunaan data internet di luar negara.

Tidak masuk akal mereka mendakwa perjanjian mereka dengan SMART hanya membabitkan pengguna perkhidmatan tersebut menggunakan khidmat CELCOM di Malaysia. Sedangkan saya telah beberapa kali ke Cambodia tahun lepas, kesemuanya menggunakan perkhidmatan Smart dan mendapat tawaran yang serupa daripada CELCOM. Malah ketika tiba di Cambodia tahun ini pun, CELCOM menghantar mesej menyatakan saya perlu menukar menggunakan perkhidmatan SMART untuk menikmati pakej internet RM 38 sehari.



Sungguhpun bersyukur dengan penyelesaian ini, namun saya tetap berharap CELCOM harus jujur apabila ada kesilapan teknikal dan mengakui kesilapan mereka tanpa penjelasan yang berbelit-belit dan mengelirukan orang ramai.

Adalah diharapkan juga CELCOM dapat memperbaiki prosedur perkhidmatan pelanggan mereka agar pengguna lain tidak perlu menggunakan jalan berliku seperti saya untuk mendapatkan perhatian dan siasatan daripada pihak CELCOM.

Sewajarnya apabila ada pertikaian jumlah bil yang tinggi pihak CELCOM perlu segera melakukan siasatan bukannya menggunakan alasan perlu menunggu bil dikeluarkan. Dalam zaman kecanggihan teknologi hari ini, alasan lapuk seperti dua puluhan tahun lalu sudah tidak masuk akal.

Namun, di sebalik wajah hodoh ini, CELCOM masih merupakan satu syarikat telekomunikasi terbaik di negara ini dari segi liputan yang meluas di di dalam negara dan jumlah “partner” yang meluas untuk perayauan di peringkat antarabangsa.

CELCOM mempunyai kerjasama yang besar di sekitar Asia membolehkan pelanggannya melanggani akses internet yang murah di negara luar berbanding penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain. Asalkan pengguna mengambil tahu sedikit aspek teknikal apabila berada di luar negara mereka boleh menikmati kadar RM 38 sehari untuk penggunaan “roaming internet” di lebih 30 buah negara.


KUALA LUMPUR 4 April – Syarikat perkhidmatan telekomunikasi Celcom Axiata Bhd. (Celcom) menyatakan pihaknya telah memberi penjelasan kepada beberapa pengguna yang menghadapi kesulitan berhubung caj bil telefon.

Celcom dalam kenyataan semalam berkata, hasil siasatan mendapati beberapa pengguna yang berdepan dengan masalah bil telefon mencecah sehingga ribuan ringgit adalah disebabkan oleh penggunaan data ekoran berada di luar negara, selain faktor masalah teknikal.

Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia sebelum ini, pengguna bernama Abdul Jalil Backer, 39, mendakwa, bil telefonnya mencecah sehingga ribuan ringgit dalam tempoh sehari.

Menurut kenyataan tersebut, hal itu berlaku kerana beliau mengaktifkan perayauan antarabangsa ketika di Kemboja menggunakan perkhidmatan operator Smart dan dikenakan bayaran mengikut kadar guna pakai iaitu sebanyak RM38 sehari.

“Operator Smart adalah gabungan antara Hello Axiata Company Limited dengan Smart Axiata Company Limited.

“Celcom mempunyai perjanjian dengan Hello yang mana pengguna Celcom akan menikmati kadar guna pakai RM38 ketika berada di Kemboja dan begitu juga dengan pengguna Hello di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, perjanjian Celcom dengan Smart hanya membolehkan pengguna menikmati perayauan dengan rangkaian Celcom sahaja di Malaysia.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Abdul Jalil telah dikenakan perkhidmatan data perayauan mengikut pakej kadar guna pakai kerana promosi RM38 hanya ditawarkan oleh Hello.

“Jumlah keseluruhan bil beliau adalah sebanyak RM3,188.93 dan menjadi RM114 selepas pelarasan dilakukan mengikut kadar guna pakai RM38 sehari.

“Celcom telah menghubungi Abdul Jalil dan beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberi,” menurut kenyataan tersebut.

Bagi kes kedua melibatkan pengguna bernama Syaharil Izham Abdul Malik, 32, Celcom menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat menghubungi beliau ekoran tiada maklumat lengkap.

“Celcom tidak dapat menghubungi Syaharil Izham kerana tidak memperoleh nombor telefonnya dan kami meminta beliau mengunjungi mana-mana cawangan Blue Cube berhampiran bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Kelmarin, Celcom dikecam hebat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pengguna telekomunikasi tersebut ekoran mengenakan caj perkhidmatan yang disifatkan tidak masuk akal.

Petikan Mykmu.net

2 comments:

Anonymous said...

Celcom merupakan sebuah syarikat telekomukasi bumiputra yang Berjaya. Pengguna servis data roaming perlu berhati-hati apabila melawat keluar Negara kerana caj penggunaan khidmat data dan voice adalah berbeza. Saya salah saorang pelanggan celcom semenjak zaman *010* lagi dan saya berpendapat jangan nak hentam celcom sangat. Perlu berhati-hati dengan usaha untuk menjatuhkan syarikat telekomunikasi bumiputra yang established ini. Compare sejarah dan perkhidmatan Celcom dengan syarikat telekomunikasi yang lain seperti Maxis, DiGi, YTL dll. Saya berpendapat dalam banyak-banyak syarikat telekomunikasi mobil, Celcom adalah yang terbaik. NGO bumiputra diminta lebih perihatin dan berhati-hati takut diperalatkan oleh pihak yang berniat jahat terhadap syarikat bumiputra.

Anonymous said...

Ada lg satu kompeni terbaik nama CELPORN boley wat panggilan ke mana mana negara dan memberi servis percuma untuk mendapatkan 2 org pelacur..saya dah cuba mmg berbaloi baloi sebulan hanya rm3.80 sen saja