Thursday, April 17, 2014

Serangan Dari ADUN PAKATAN Keatas Khalid Diperhebat



Usaha memburukkan imej Khalid Ibrahim bagi menjatuhkan beliau dari jawatan Menteri Besar diteruskan hari ini, apabila Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) “mencabar” di Dalam DUN Selangor agar Menteri Besar menjelaskan sama ada isteri beliau diberi pembantu khas dan siapa yang membayar gaji.

Dalam jawapannya, Menteri Besar Selangor hari ini mengaku isteri beliau selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mempunyai seorang pembantu khas yang digajikan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Terdapat peruntukan kepada pembantu khas isteri menteri besar sebagai sebahagian kemudahan yang diberikan kepada pengerusi ahli lembaga pengarah MBI.

“Dia boleh ada pembantu khas untuk membantu tugas isteri MB.

“Pembantu tersebut membantu tugas-tugas isteri MB dalam program kemasyarakatan dan sosial,” kata Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pagi ini.

Menurutnya, jawatan itu merupakan lantikan secara kontrak selama dua tahun dan akan disemak setiap dua tahun berikutnya.

Khalid bagaimana pun tidak mendedahkan jumlah gaji pembantu itu.

Menurutnya lagi, Pekawanis dianggotai oleh golongan wanita terdiri daripada wakil rakyat peringkat DUN, Parlimen dan Dewan Negara termasuklah speaker DUN serta isteri-isteri wakil rakyat.

Ia menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sosial dan senarai aktiviti yang telah dijalankan boleh didapati dari laman web kerajaan negeri, kata Khalid.

Saari turut bertanya jika pembantu itu turut menerima bonus selaku kakitangan MBI.

Menjawab soalan itu, Khalid secara berseloroh berkata pembantu khas itu tetap menerima bonus seperti kakitangan lain, walaupun isterinya tidak bercadang untuk memberi bonus kepada pembantu itu.

No comments: