Wednesday, May 21, 2014

Benarkah Mahathir Pengamal Dasar Kroni Paling Tegar? Jom Baca



Menjerit perkataan kronisme dan nepotisme adalah satu keghairahan baru sejak kegawatan ekonomi 1997.

Ketika sebahagian orang Melayu hampir muflis kerana kegawatan tersebut, ada antara kita dengan bangga dan tanpa belas kasihan menggelarkan kegawatan ekonomi sebagai ‘creative deconstructive’ (kemusnahan kreatif).

Kesusahan saudara sebangsa dan seagama dianggap sebagai sesuatu yang kreatif dan dijadikan modal politik murahan.

Kronisme adalah satu terma yang selalu menjadi agenda barat dan pembangkang di negara kita. Ia kelihatan dilaungkan bila ada yang terdesak dan tidak puas hati kerana orang lain dapat lebih dan ia mendapat kurang.

Selebihnya, ia adalah modal politik atas air mata dan kesusahan usahawan yang hampir muflis dan pekerja yang hilang sumber pencarian.

Kronisme secara literalnya ditafsirkan sebagai satu dasar atau tindakan-tindakan istimewa kerajaan kepada orang-orang tertentu yang rapat dengan mereka yang berkuasa.

Di Malaysia, dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru, secara tidak langsung hampir seluruh orang Melayu adalah kroni kerajaan.

Kerajaan telah menjalankan dasar ‘affirmative’ bagi membantu orang Melayu berjaya dalam perniagaan, pelajaran dan pekerjaan.

90% orang Melayu golongan menengah hari ini adalah kroni kerajaan. Malangnya, mereka ini jugalah yang sedang meludah ke periuk nasi sendiri. Dr. Mahathir bukan sahaja menukar pandangan dunia tetapi sikap orang Melayu sendiri.

Di mana muka orang Melayu pada tahun 1940, 50, 60,70 an? Bukankah kerana munculnya kronisme Melayu melalui Peremba yang memungkinkan kehadiran orang Melayu dipersada ekonomi negara dan dunia? Bolehkah tanpa Kumpulan Membangun Negara melalui Peremba, kita melahirkan usahawan dan jutawan Melayu daripada anak petani dan nelayan seperti hari ini? Apakah hari ini kita memaki hamun Dr. Mahathir kerana kronisme Melayu?

Siapakah Halim Saad, Shamsudin, Tajuddin Ramli dan ramai lagi sebelum mereka dilatih menjadi usahawan Melayu? Apakah mereka suku sakat atau adik beradik Dr. Mahathir? Tidak sama sekali. Mereka juga bukan kawan-kawan Dr. Mahathir - beza umur mereka dengan Dr. Mahathir sahaja hampir 15-20 tahun.

Mereka juga bukan ketua bahagian UMNO atau penggerak UMNO ketika menjadi usahawan yang dibantu oleh kerajaan. Mereka ini diberi peranan penting membangunkan negara melalui pembinaan lebuh raya, sistem pengangkutan dan pelbagai infrastruktur besar negara.

Dalam sebuah negara yang kecil dan baru membangun, mahu tidak mahu, kerajaan harus rapat dan akrab dengan usahawan supaya segala dasar yang dirancang berjalan lancar.

Apakah kerana hubungan baik ini maka mereka boleh digelar kroni kerajaan? Mereka adalah segelintir orang Melayu yang dibantu oleh UMNO untuk memastikan pembabitan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Hanya selepas kaya barulah mereka menolong UMNO dan orang Melayu lainnya.

Hari ini ratusan nama orang Melayu tersenarai dalam BSKL. Kalau inilah yang dipanggil kroni maka apakah kita mahu semua orang Melayu mengembalikan harta mereka kepada kerajaan?

Semua orang Melayu yang berjaya dalam bidang perniagaan hari ini adalah kerana bantuan dan pertolongan istimewa kerajaan. Apakah ini suatu kesalahan Dr. Mahathir kerana memajukan orang Melayu?

Segelintir Orang Melayu lulusan universiti hari ini lebih suka mengagungkan Jomo Kumasundram (a Javanese Hindu) yang telah menghabiskan sebahagian usianya menentang usaha UMNO membantu orang Melayu dalam bidang perniagaan.

Mereka mengagung-agungkan Jomo tanpa menyedari bahawa kalau kerajaan juga mengagungkan Jomo seperti mereka, maka orang Melayu tak akan sesenang sekarang.

Apakah kita lebih rela melihat MAS dimiliki oleh orang asing? Apakah kita lebih rela 16, 000 orang Melayu dalam Renong hilang pekerjaan semata-mata kerajaan takut dilihat sebagai mengamalkan kronisme? Apakah kita lebih rela melihat sebuah syarikat Melayu yang telah membina satu sistem pengangkutan yang canggih tersungkur gara-gara tidak boleh menaikkan tambang yang dikawal oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat?

Kalau kesemua syarikat ini tidak ditolong oleh kerajaan maka dalam sekelip mata ia akan menjadi milik asing.Syarikat seperti Perkapalan Kebangsaan Berhad, MAS, Putra LRT, Star LRT dan Renong mudah sahaja dijual kepada pelabur asing dengan jumlah keuntungan yang lebih besar kepada pemiliknya.

Apakah kita rela melihat segala kemudahan yang dibina menjadi milik asing semata-mata kerana kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah negara kronisme?

Pembangkang menyalahkan kerajaan kerana membeli saham MAS dengan harga RM8 seunit berbanding harga di pasaran RM3.80. Tapi mereka tidak pun mendedahkan fakta bahawa Tajuddin membeli MAS dengan harga RM8 seunit pada 7 tahun lalu walaupun harga saham pada masa itu RM4 seunit. Lebih memeritkan pembelian ketika itu ialah berdasarkan tukaran AS$1 bersamaan dengan RM2.50.

Hari ini kerajaan membeli kembali pada waktu AS$1 bersamaan RM3.80. Tajudin telah kerugian hampir 50% susut nilai akibat urusniaga ini. Ini belum lagi termasuk jumlah pelaburan beliau selama 7 tahun di syarikat tersebut.

Berapa banyak kapal terbang baru, kos meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pelbagai pembangunan dalaman syarikat yang dibuat.

Hakikat Tajuddin menjadi mangsa ketidakpercayaan bank-bank luar untuk mendapat pinjaman kerana lobi pembangkang di luar negara tidak pula didedahkan oleh pembangkang. Siapa yang mengkhianati orang Melayu?

Mereka yang sedang menjerit kronisme hari ini pun, suatu ketika dahulu adalah penjilat dasar keutamaan orang Melayu ini. Nama-nama seperti Rahim Ghouse, Kamaruddin Jaafar, Ezzam, Azmin, dan ramai lagi yang melaungkan nada kronisme adalah golongan muda Melayu yang dengan cepat dan pantas melonjak sama ada dalam perniagaan mahupun jawatan kerajaan kerana pertolongan kerajaan pimpinan UMNO.

Sally Cheung dalam bukunya “Malay Entrepreneurs” tidak segan silu menulis Kamarudin Jaafar sebagai usahawan yang mempunyai hubungan dengan ‘top politician’. Mereka ini mengecap kemewahan tanpa keperitan dan melalui sebarang kesusahan yang dirasai oleh para usahawan Melayu perintis seperti Daim Zainuddin.

Mereka tidak pernah ke mahkamah, tidak pernah rugi dan tidak pernah merasa susah untuk meyakinkan bank bagi mendapatkan pinjaman. Berapa orang daripada pemimpin keadilan yang kaya hari ini pernah rugi dan hampir bangkrap seperti Daim dahulu? Tidak ada.

Mereka semua dibantu dan ditolong oleh dasar kerajaan yang mereka kecam hari ini. Malahan mereka yang berada dalam Keadilan dan PAS sekarang ini menjadi kaya dan senang lebih muda dan mudah berbanding generasi ‘Pembangun Negara’ didikan Peremba.

Berapakah usia mereka yang mengaut kekayaan dan kemewahan hari ini berbanding usia Tajuddin Ramli, Halim Saad dan Mohd Desa Pachi ketika mereka menjadi jutawan atau usahawan berjaya? Hampir separuh.

Balik sahaja dari luar negara, tubuh syarikat dan ‘terhegeh-hegeh’ mendapatkan ‘pink form’ Kementerian Kewangan atas dasar membantu orang Melayu.

Hari ini mereka sibuk memaki hamun dasar yang suatu ketika dahulu merekalah pendokongnya semata-mata kerana mereka sudah tidak ada kepentingan lagi.

Mereka lupa pada nasib dan masa depan ratusan ribu orang Melayu dan rakyat Malaysia yang menjadi kakitangan syarikat-syarikat besar ini. Apakah nasib mereka dan masa depan keluarga mereka sekiranya kerajaan membiarkan syarikat-syarikat ini muflis dan dijual kepada pelabur asing?Bagamana pula dengan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Industri Hiliran yang menjadi pembekal bahan kepada konglomerat Melayu ini?

Pemindahan ekuiti milik tempatan kepada asing tentu juga akan memberi kesan kepada usahawan industri ini. Masa depan mereka juga tidak ada kepastian kerana pelabur asing tidak mementingkan ini semua.

Berhenti sejenak melaungkan kronisme dan fikirkanlah padahnya kepada ramai orang Melayu sekiranya kerajaan membiarkan sahaja semua ini berlaku mengikut kuasa pasaran. Seluruh struktur usahawan Melayu dan rangkaian ekonomi melayu yang baru bertapak akan runtuh.

Selebihnya, mungkin ada baiknya pembangkang menyenaraikan siapa kroni Dr. Mahathir dan siapa bukan, atas kriteria apa ia dikatakan kroni dan kenapa orang lain bukan kroni.

Bila ada semua fakta ini barulah kita boleh membuat penilaian sama ada hanya dua tiga orang sahaja kroni kerajaan atau hampir kesemua usahawan Melayu adalah kroni kerajaan.

Akhirnya, satu pertanyaan, pernahkah DAP mempertikaikan siapa orang Cina yang dapat kontrak dan siapa tidak?

DAP hanya memainkan isu kronisme kepada orang Melayu sahaja. Sedangkan ramai usahawan Cina yang rapat dengan MCA dan Gerakan tidak pula dilihat sebagai kroni.

DAP memainkan irama ini kerana yang terbabit adalah orang Melayu.

Malangnya pembangkang Melayu yang masuk universiti pun atas kronisme kerajaan pula yang terlebih sudu dari kuah.Melayu oh Melayu!

Sumber

2 comments:

Anonymous said...

Cina rasis dan PENDENGKI!! Pantang tengok Melayu kaya raya di bumi sendiri. Yang cina dok hidup mewah kat sini tak pe????
Kesabaran MElayu ada batasnya!!

Anonymous said...

100% sokong anon 10:41