Thursday, May 1, 2014

Catuan Akan Bersambung Selepas Tamat Pemilhan PKR!



Sejujurnya bagi rata-rata penduduk di negeri Selangor hari ini adalah saat yang paling melegakan selepas Menteri Besar, Khalid Ibrahim mengumumkan catuan air yang sudah berlanjutan sejak lebih dua bulan lepas akan ditamatkan bermula esok atau selewat-lewatnya hari Jumaat.

Benar itulah berita yang sekian lama kita nantikan selepas diduga dengan ujian yang cukup memeritkan bila mana terpaksa mengharungi kehidupan harian dalam keadaan bekalan air bersih dicatu secara berjadual. Syukur Alhamdulillah berakhir sudah dugaan yang berat itu.

Pun begitu, haruslah kita sentiasa beringat kegembiraan yang kita kecapi sekarang belum tentu akan kekal berpanjangan memandangkan empangan Sungai Selangor yang membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang belum lagi mencapai paras normal 55 peratus.

Khalid Ibrahim dalam pengumumannya itu juga tidak berani memberi jaminan bahawa catuan air secara berjadual tidak akan berulang dalam tempoh terdekat sementelah lagi dijangkakan pada penghujung Mei atau awal Jun hingga akhir September atau awal Oktober nanti musim Monsun Barat Daya yang lebih kering pula dijangka melanda.

Penulis tak sanggup nak bayang kalau-kalau selepas ini bekalan air bersih dicatu lagi atas sebab empangan dan sungai di Selangor surut tapi suka atau tidak terpaksalah menerima hakikat semua dugaan yang memeritkan ini adalah bahana dari kesilapan majoriti pengundi berdaftar di Selangor yang memilih PR dalam PRU-12 dan PRU-13 yang lalu.

Dek kerana ketaksuban membuta tuli 1.05 juta pengundi PR di Selangor natijahnya lebih 6 juta orang pengundi dan penduduk yang lain di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa menerima akibat buruknya.

Semua ini sebenarnya boleh dielakkan atau setidak-tidaknya diminimakan kesannya andai kata Khalid Ibrahim dan parti diwakilinya tidak bersikap keras kepala dengan menghalang pembangunan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) pada tahun 2009 dulu yang sepatutnya mula dibina pada 2010 dan dijangka siap pada awal tahun ini.

Gara-gara LRA Langat 2 dihalang oleh Khalid dan PKR yang sibuk berpolitik dengan mendakwa projek itu yang turut membabitkan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS) adalah satu bentuk pembaziran dan mahal, kesannya habis segala-gala perancangan jangka masa panjang untuk kepentingan rakyat dan ekonomi pun tergendala.

Sekarang bila Khalid sudah menandatangani MoU Air Selangor termasuk kembali membenarkan pembangunan LRA Langat 2, sudah terlambat kerana bila sekarang baru dibenarkan pembinaannya hanya sekitar tahun 2017 atau 2018 barulah LRA Langat 2 akan siap dibina. Dalam tempoh 3, 4 tahun ini pastinya catuan air akan berlaku lagi.

Oleh itu cukuplah sekadar lega secara berpada-pada dan jimatkanlah penggunaan air kerana tiada jaminan keperitan hidup selama lebih dua bulan ini sudah tamat selamanya dan tidak berulang lagi.

Tapi seandainya bila-bila masa dari sekarang berlaku lagi catuan air maka pandai-pandailah tadah air hujan sebagaimana anjuran seorang EXCO Kerajaan PR Selangor dan juga nasihat ikhlas dari MB Selangor sendiri. Agaknya inilah teknologi stormwater yang diwar-warkan dulu.

Sementara menantikan LRA Langat 2 sebagai penyelesaian jangka masa panjang masalah air ini siap dibina sama-samalah kita redha menelan air lombong yang mungkin tercemar dengan logam berat seperti arsenik, plumbum, kromium, tembaga, zink dan timah.

Terimalah hakikat inilah gayanya Negeri Berkebajikan yang kita diami sekarang.

Petikan Mykmu.net

1 comment:

Anonymous said...

janji di tepati, negeri Selangor akan beri air percuma kepada rakyatnya,,, air lombong dan air hujan,..mana ada air free, orang yang duduk flat kena bayar air sebab meter pukal...apa apa pun satu teknologi baru,ciptaan baru yang akan di patent kerajaan PR akan dibuat..ia itu guna batang paip PVC dengan air botol mineral di ikat dihujung paip untuk menadah air hujan, jadi doctor exco PAS Selangor tu tak boleh kata orang Selangor malas,..jenis politician bengap, pandai bercakap tapi tak bagi solution, orang kampong juga cipta teknologi tadah air..