Wednesday, May 7, 2014

Kebodohan Khalid Yang Tiada Pada Orang Lain



PETALING JAYA: Perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaikan tidak menghiraukan isu manipulasi undi yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali apabila keputusan pengundian pada minggu kedua dijangka memihak kepada calon dan penyandang Timbalan Presiden itu.

Walaupun pelbagai pihak tampil mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), ternyata isu yang diketengahkan seperti mana yang berlaku pada pemilihan 2010 tidak memberi kesan kepada calon terbabit.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Ahli Parlimen Gombak itu menerima kira-kira 12,800 undi atau 49 peratus iaitu mendahului Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat kira-kira 7,171 undi (27 peratus) dan Datuk Saifuddin Nasution yang memperoleh 6,161 undi (24 peratus).

Sehingga proses pengundian berakhir di lima buah negeri pada 3 dan 4 Mei lalu, Azmin dikatakan mendapat 57 peratus undi dari Sabah iaitu negeri kedua yang mempunyai ahli paling ramai selepas Selangor.

Sementara itu difahamkan Abdul Khalid mendapat 33 peratus undi dari Sabah manakala Saifuddin hanya memperoleh 10 peratus.

Mohamed Azmin juga dikatakan mendahului keputusan di Perak iaitu sebanyak 46 peratus di Perak dan 51 peratus di Perlis.

Bagaimanapun Saifuddin dikatakan mendahului senarai di negeri asalnya iaitu Kedah dengan mendapat 51 peratus undi di 12 daripada 15 cabang yang sudah dikira.

Namun demikian sehingga Selasa, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) terpaksa menangguhkan pengumuman keputusan rasmi terkini pemilihan membabitkan lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang berlangsung pada 3 dan 4 Mei lalu.

Bercakap kepada mStar Online, Timbalan Pengerusi JPP, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa dakwaan penipuan dan kesilapan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.

Mengakui wujud beberapa kesilapan membabitkan proses pengundian, Tan bagaimanapun memberi jaminan pihaknya akan berlaku adil dan mengambil tindakan tegas berhubung salah laku yang mencacatkan pemilihan parti itu.

"Saya sahkan bahawa kita sudah menerima semua keputusan. Tapi buat masa ini kita tak boleh umumkan dahulu. Kita takut ada kesilapan jika terburu-buru.

"Kita sedang semak semua data, ada kesilapan dan kami perlu semak dan siasat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Media melaporkan wujud kekecohan pemilihan PKR yang masuk minggu kedua Sabtu dan Ahad lalu membabitkan beberapa Cabang iaitu Sungai Petani di Kedah, Nibong Tebal dan Balik Pulau (Pulau Pinang), Tenom, Sepanggar, Beaufort, Keningau dan Tuaran (Sabah) dan Lumut (Perak).

Kekecohan turut menyebabkan pemilihan bagi beberapa jawatan terpaksa dibatal dan ditangguhkan ke tarikh baharu.

Sementara itu, Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mendakwa tindakan 'tangan-tangan ghaib' menimbulkan kekecohan kerana mahu memenangkan calon pilihan mereka.

"Kekecohan atau 'blakcout' ini terjadi di Cabang yang menunjukkan keputusan yang tidak memihak kepada calon pilihan mereka.

"Sebab itu kita mahu JPP turun padang dan menyiasat semua dakwaan yang dikemukakan ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi.

Menurut sumber, proses pemilihan awal Cabang Sepanggar kecoh apabila dewan yang digunakan tidak dilengkapkan dengan tanda arah untuk membantu perwakilan mengundi.

Selain itu, ketiadaan petugas JPP mengawal kemasukan perwakilan menyebabkan orang ramai menyerbu dan memaksa anggota Rela mengawal situasi.

No comments: