Friday, May 9, 2014

Kenyataan Paling Sial Dari Guan Eng



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah secara rasmi mengumumkan pendirian Kerajaan Negeri pimpinannya yang disokong oleh PAS dan PKR yang secara muktamad menolak sebarang usaha ke arah merealisasikan perlaksanaan hudud di negeri itu.

Kenyataan tegas Setiausaha Agung DAP itu menyusul selang sehari selepas ADUN DAP Tanjong Bungah, Teh Yee Cheu menggesa pemimpin DAP dan Gerakan Negeri menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung isu perlaksanaan hudud di Kelantan yang hangat diperkatakan sekarang.

Tiada yang luar biasa dengan kenyataan tersebut memandangkan sebelum ini sudah acap kali pemimpin utama DAP itu menegaskan isu hudud bukannya agenda pakatan pembangkang dan soal perlaksanaannya tidak termasuk dalam persetujuan secara konsesus pimpinan tertinggi PR.

Bagaimana pun ada satu perkara yang agak menarik mengenainya bila dilihat pada komen-komen para penyokong PAS di media online yang membuat andaian konon penolakan hudud oleh DAP hanya melibatkan Pulau Pinang sahaja dan bukannya pendirian rasmi DAP bagi negeri lain.

Kata mereka, oleh kerana Lim Guan Eng cuma menyebut Pulau Pinang maka boleh disimpulkan konon Setiausaha Agung DAP itu secara diam sebenarnya menyokong ura-ura PAS untuk merealisasikan perlaksanaan hudud di Kelantan. Itu logik illusi yang diyakini penyokong PAS.

Apa jenis pemikiran logik yang diguna pakai oleh para penyokong PAS itu sukar dijelaskan tetapi kita boleh bayangkan andai pemimpin bukan Islam dari komponen BN seperti MCA atau Gerakan membuat kenyataan sedemikian rupa (menolak hudud), bertali arus kecaman dihambur keluar oleh mereka.

Telahan penulis, ada kebarangkalian besar masalah dwi-standard pemikiran penyokong PAS ini ada kaitan langsung dengan kejayaan propaganda Lim Guan Eng lapan tahun lampau yang pernah menyatakan hasrat ‘meneladani’ pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz untuk diimplementasikan dalam pentadbirannya di Pulau Pinang.

Semenjak itu kita saksikan ramai pemimpin dan penyokong PAS yang termakan propaganda tersebut saban hari tidak pernah putus mendewa-dewakan Setiausaha Agung DAP itu termasuk ada ketikanya khatib jemputan pro PAS di Pulau Pinang pernah terlanjur mendoakan kesejahteraan untuk kepimpinan Lim Guan Eng.

Mungkin kerana masih teruja dengan propaganda itulah agaknya sukar bagi pemimpin dan penyokong PAS menerima hakikat bahawa pendirian keras Lim Guan Eng menolak perlaksanaan hudud tidak hanya terhad di Pulau Pinang malah turut merangkumi mana-mana negeri termasuklah Kelantan.

Petikan Mykmu.net

No comments: