Sunday, August 9, 2015

TAHNIAH!!! Peserta UK Juara Pidato Bahasa Melayu




PUTRAJAYA 8 Ogos – Joshua Parfitt dari United Kingdom dinobatkan sebagai juara kategori antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015.

Dalam pertandingan akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini, pidato Parfitt yang penuh bersemangat berjaya menambat hati para juri sekali gus membolehkan dia menewaskan dua pesaing terdekat.

Sementara itu, Emma Cecilia Roberts dari Australia pula, terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib johan manakala Wyatt Evan Gordon dari Amerika Syarikat di tempat ketiga.

Keputusan tersebut sekali gus menunjukkan pemidato berkulit putih memonopoli kategori antarabangsa PABM 2015 sementara peserta dari Asia dan Afrika gagal memasuki pertandingan akhir.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai AS$7,000 (RM27,500), Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil manakala naib johan membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM19,600). Pemenang tempat ketiga pula membawa pulang AS$3,000 (RM11,700).

Hadiah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan diiringi timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Sementara itu, Mohd. Akmal Aizat Umar dari Malaysia muncul juara dalam kategori Alam Melayu menumpaskan rakan senegara, Then Siaw Lian (naib johan) dan Awabeen Samsuding dari Thailand (tempat ketiga).

Dalam kategori pelajar asing Malaysia pula, Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Mesir muncul juara, Waleed Basil Mohammed Ali dari Iraq (naib johan) dan Maher G.M. Abdolrasol dari Libya (tempat ketiga).

No comments: