Sunday, September 20, 2015

UBER SEMAKIN MENJADI PILIHAN, PELANGGAN SANGGUP BAYAR RM5,000-RM10,000 SEBULAN


Rakyat Malaysia heboh dengan spekulasi dan persepsi berkaitan ekonomi negara dengan pelbagai teori walhal beberapa bidang perniagaan pula berkembang dengan baik dan pesat.

Dalam keadaan ekonomi negara yang berhadapan dengan nilai ringgit yang menyusut dan pasaran saham di Malaysia yang merudum, namun perniagaan bagi perkhidmatan pengangkutan Uber semakin berkembang pesat.

Kepesatan teknologi telah mengubah landskap pengangkutan awam di Malaysia dengan wujudnya perkhidmatan Uber dan Grabcar yang mana pembayaran perkhidmatannya adalah “mudah” dengan kaedah pembayaran atas talian melalui kad kredit pengguna.

Trend baharu ini semakin meningkat, digemari penumpang dan menjadi pilihan kerana pengguna mahukan perkhidmatan pengangkutan awam yang “lebih selesa dan selamat”.

Gaya hidup terkini yang dilihat mudah dan selesa ini telah mencetuskan permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan Uber di Malaysia.

Dalam tinjauan dan temubual bersama beberapa pemandu Uber, mereka mendedahkan terdapat beberapa pelanggan yang sanggup membelanjakan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sebulan bagi mendapatkan perkhidmatan Uber ini.

Ini termasuk pelanggan yang menempah perjalanan jarak jauh seperti ke Genting Highlands, tempahan perkhidmatan ke kelab malam di bandaraya serta perkhidmatan lain.

Uber baru-baru ini telah memberikan kejutan kepada pelanggan bertuah mereka dengan menaiki 2013 McLaren MP4-12C dalam promosi terbaharu mereka dan ianya tersebar meluas di media sosial.

Klik untuk lihat video di bawah.

(Picking up Uber riders with a McLaren – AutoBuzz.my)


Apabila ditanya siapa penumpang yang sanggup membayar tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan Uber, seorang pemandu Uber yang enggan namanya disiarkan memberitahu kebanyakan pelanggannya adalah dalam kalangan selebriti, model dan lain-lain.

“Kebanyakan pelanggan yang sanggup membayar dengan nilai yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan Uber ini sama ada model, selebriti, pengiring kelas atasan atau isteri-isteri VIP. Mereka tidak pernah mendedahkan pekerjaan sebenar mereka,” kata pemandu Uber yang memandu Mercedes terkini E250 CGI.

“Apa yang saya tahu, pelanggan kami mahukan perjalanan yang selesa dan selamat ke destinasi mereka. Dan kami menyediakan itu,” tambahnya.

Mungkin dengan trend terbaru ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau menghairankan jika perkhidmatan teksi konvensional tidak lagi menjadi pilihan dan dianggap ketinggalan zaman.

Mungkin juga perkhidmatan teksi di Malaysia bakal berkahir.

Kadar sewa teksi biasa pada hari ini adalah sekitar RM50 hingga RM100 sehari.





Walaupun begitu, dengan kadar sewa teksi yang lebih murah dari perkhidmatan Uber, keadaan ini masih tidak menguntungkan kepada pemandu teksi.

Dengan kadar yang masih boleh dianggap murah, perkhidmatan teksi tidak mampu bersaing dengan perkhidmatan Uber malah pemandu teksi merasa tergugat dengan kewujudan perkhidmatan Uber ini.

Lihat sahaja teksi kita berbanding dengan negara lain Singapura, Hong Kong, London dan juga di negara jiran kita Indonesia.

Sedang perkhidmatan teksi Indonesia menggunakan kenderaan buatan Toyota, kita masih menggunakan model Proton lama yang dibina pada tahun 1980-an!

1 comment:

Anonymous said...

tak bley carik makan ler dribar supir taksi lepaih nieeee